TEL AVIV: Sekitar 110,000 warga Palestin meninggalkan Rafah di selatan Semenanjung Gaza sejak tentera Israel mara ke bandar itu, menurut Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menerusi hantaran di X, UNRWA berkata, tiada tempat yang selamat di Semenanjung Gaza untuk rakyat Palestin ketika keadaan hidup amat teruk.
“Satu-satunya harapan ialah gencatan senjata dengan segera,” kata UNRWA.
Menurut pihak berkuasa sempadan Palestin, lintasan sempadan Rafah ke Mesir masih ditutup untuk penghantaran bantuan kemanusiaan.
– Bernama-dpa


