RAMALLAH: Tentera Israel didakwa menembak mati enam rakyat Palestin pada Jumaat, dalam serbuan di kem pelarian di utara Tebing Barat yang diduduki Israel, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Kementerian itu tidak mengenal pasti mangsa terkorban, tetapi mengatakan mereka terbunuh akibat peluru dari pendudukan (Israel) di kem pelarian AlFara, berhampiran Tubas.
Tentera Israel tidak segera menjawab permintaan untuk komen.
“Pertempuran meningkat dengan tentera (Israel) yang menyerbu kem di tengah-tengah tembakan sengit dan letupan,” kata agensi berita rasmi Palestin, WAFA. Keganasan berlaku di wilayah itu sejak meletusnya perang antara Israel dengan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza. Pada Rabu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata empat rakyat Palestin, dua daripadanya remaja, terbunuh dalam beberapa operasi tentera Zionis di sekitar Tebing Barat.
Pihak Berkuasa Palestin berkata, tembakan dan serangan peneroka Israel di Tebing Barat itu membunuh sekurang-kurangnya 263 rakyat Palestin sejak perang Israel-Hamas bermula.
Angka ini melebihi keseluruhan angka kematian 235, kebanyakannya rakyat Palestin terbunuh dalam konflik Israel-Palestin tahun lalu.
Bulan lalu, 14 rakyat Palestin terbunuh dalam serbuan Israel di bandar Jenin, menurut kementerian itu yang berpangkalan di Ramallah.
Ia merupakan angka kematian Tebing Barat tertinggi daripada satu serbuan sejak 2005, menurut rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



