Tentera Myanmar isytihar darurat setahun

YANGON: Tentera Myanmar mengisytiharkan darurat selama setahun semalam selepas melakukan rampasan kuasa terhadap pemerintah dilantik secara demokratik, pimpinan pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi yang ditahan bersama-sama pegawai lain.

Pengumuman di siaran milik tentera, TV Myawaddy, menjelaskan langkah itu perlu bagi menjaga ‘kestabilan’ negara.

Selain itu ia mendakwa suruhanjaya pilihan raya negara itu gagal menangani ‘penyelewengan besar’ dalam pemilihan, pada November lalu.

Pengisytiharan ditandatangani Naib Presiden Pertama, U Myint Swe, yang bertugas sebagai pemangku Presiden, seperti diumumkan di TV Myawady. Kenyataan itu juga berkata, kuasa negara akan diserahkan kepada Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing.

Sebelum ini, talian telefon ke ibu kota Naypyitaw tidak dapat ditembusi dan penyiaran stesen TV negara terhenti beberapa jam sebelum parlimen dijadualkan bersidang untuk pertama kalinya sejak kemenangan besar NLD dalam pilihan raya pada November tahun lalu.

Dilaporkan tentera mengambil kedudukan di bandar utama Yangon manakala perkhidmatan Internet dan telefon di kubu NLD turut terganggu, menurut penduduk.

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah, NLD pimpinan Suu Kyi menang besar.

Myanmar yang baru sedekad keluar selepas hampir 50 tahun diperintah tentera, masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera walaupun pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan pentadbiran dipilih rakyat. – AFP