ARTIKEL

Kredit: Bernama

Tepati ramalan, Sunoshini dimahkotakan Miss Grand Malaysia 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Anak jati Negeri Sembilan Sunoshini Dhanabalan menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Miss Grand Malaysia 2026 pada acara kemuncak di sini, kelmarin.

Kemenangan itu melayakkan usahawan berusia 29 tahun itu mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Grand International 2026 yang dijadualkan di India pada Oktober ini.

Tempat kedua disandang peserta Selangor Vyan Trisni, 22, manakala tempat ketiga Gracelyn Tigang, 23, dari Sarawak.

Sunoshini berkata kemenangan itu cukup bermakna selepas hampir setahun membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan tersebut.

“Saya gembira dan teruja kerana di sebalik mahkota ini, terdapat pelbagai cabaran dan pengorbanan yang dilakukan.

Kemenangan ini bukan sekadar mahkota atau gelaran.

“Sudah tentu saya mahu memberikan saingan dan persembahan terbaik di pentas dunia supaya dapat membanggakan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjalanan saya,” katanya kepada Bernama.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu menyasarkan untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 20 terbaik pada pertandingan Miss Grand International 2026.

“Pengalaman sebagai jurulatih peragaan dan dalam dunia lakonan serta tarian banyak membantu membina keyakinan diri di pentas.

Kini, fokus utama ialah memperkukuh persiapan fizikal, mental dan strategi sebagai persiapan ke India,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Nasional Miss Grand Malaysia Melisha Lin berkata amat berbangga dengan kemenangan Sunoshini yang disifatkannya sebagai peserta paling konsisten sepanjang minggu pertandingan berlangsung.

Beliau berkata dalam kalangan 12 peserta, Sunoshini sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang menerusi sikap positif, disiplin tinggi dan keperibadian yang menyerlah serta tahap fokus yang menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan wakil negara.

Mengenai persiapan menghadapi pertandingan peringkat antarabangsa, Melisha berkata pihaknya akan memberikan tumpuan kepada aspek komunikasi selain beberapa elemen lain bagi memperkukuh persediaan wakil negara itu.

“Kami akan memperkemas cara beliau berkomunikasi dan kami yakin dengan kebolehannya.

Sunoshini sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya. — Bernama

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU