Diskriminasi, prejudis dan ketakutan yang tidak berasas dalam kalangan masyarakat sering kali menjadi ‘pembunuh’ yang lebih pantas daripada virus itu sendiri bagi individu yang hidup dengan HIV (PLHIV).
Meskipun sains perubatan semakin maju, momokan serta stigma lapuk yang melabelkan golongan ini sebagai pesakit “tiada harapan” terus menjadi penghalang besar yang menyebabkan mereka enggan tampil mendapatkan rawatan awal kerana takut, malu dan bimbang dipinggirkan.
Menyedari hakikat bahawa kesedaran masyarakat masih berada pada tahap lama, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ), Wan Ahmad Rafiq Wan Julihi, 45, menggesa perubahan menyeluruh dalam cara masyarakat melihat dan melayan golongan berkenaan.
Menurut beliau, sudah tiba masanya masyarakat berhenti menghukum dan mula memahami, sekali gus meruntuhkan tembok stigma demi membina persekitaran sosial yang lebih inklusif, selamat serta penuh empati di Malaysia.
Menurut Rafiq, klinik kesihatan kini memikul tanggungjawab yang lebih besar. Klinik bukan sekadar tempat untuk mendapatkan ubat-ubatan, malah berfungsi sebagai pusat untuk membina semula keyakinan dan harapan pesakit.
“Perkhidmatan kaunseling profesional, jaminan kerahsiaan maklumat pesakit serta layanan yang penuh empati merupakan asas utama kepada kejayaan rawatan HIV.
“Panel Penasihat KKPJ bertindak sebagai jambatan penting yang menghubungkan komuniti dengan pihak klinik.
“Hubungan ini diperkukuh menerusi penganjuran program pendidikan kesihatan, ceramah kesedaran, sesi perkongsian pengalaman serta kerjasama strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan.
“Apabila masyarakat melihat klinik sebagai institusi yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi, lebih ramai individu akan tampil secara sukarela untuk menjalani saringan awal serta memulakan rawatan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Mengulas mengenai kempen kesedaran yang berkesan, Rafiq menekankan kepentingan program yang berasaskan fakta, mudah difahami dan dekat dengan masyarakat.
Menurutnya, antara pendekatan yang terbukti berkesan termasuklah pelaksanaan program pendidikan di klinik, sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), tempat kerja dan kawasan komuniti.
Tambahnya, antara mesej saintifik terpenting yang perlu diperluas secara lebih menyeluruh ialah “Undetectable = Untransmittable” (U=U) atau “Tidak Dapat Dikesan = Tidak Boleh Menjangkiti”.
Katanya, konsep U=U merujuk kepada individu yang mematuhi rawatan antiretroviral (ARV) secara konsisten sehingga paras virus dalam darah menjadi terlalu rendah atau tidak dapat dikesan.
Dalam keadaan tersebut, individu berkenaan tidak akan memindahkan HIV kepada pasangan melalui hubungan seksual.
Oleh itu, katanya, pengetahuan tersebut merupakan senjata utama dalam mengurangkan stigma terhadap HIV kerana membuktikan bahawa pesakit mampu menjalani kehidupan yang sihat dan produktif.
Selain itu, menurut Rafiq, perkongsian kisah sebenar daripada PLHIV yang berjaya membina kerjaya dan kehidupan stabil didapati jauh lebih berkesan dalam mengubah persepsi negatif masyarakat berbanding penyampaian fakta akademik semata-mata.
Belia, NGO dan Media Sosial
Dalam era digital, golongan belia dilihat sebagai ejen perubahan yang sangat berpengaruh.
Justeru, Rafiq menggesa generasi muda menggunakan platform media sosial masing-masing untuk menyebarkan maklumat yang sahih, menghasilkan kandungan kreatif dan mendidik serta menolak sebarang mitos mengenai HIV.
Katanya, dalam bidang akademik, institusi pendidikan disaran memperkukuh kurikulum pendidikan kesihatan reproduktif dan kesedaran HIV menerusi penganjuran forum serta aktiviti kokurikulum yang bersesuaian dengan peringkat umur pelajar.
Sementara itu, beliau berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terus konsisten dalam memberikan sokongan moral dan praktikal kepada pesakit, selain menggerakkan usaha advokasi serta bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan bagi memperluas jangkauan kempen kesedaran.
tepis Stigma,
angkat Maruah Pesakit
Menyentuh realiti di Malaysia, Rafiq tidak menafikan bahawa stigma terhadap PLHIV masih wujud.
Golongan berkenaan sering dilabel secara melulu sebagai individu yang tidak bermoral, dipinggirkan oleh keluarga, didiskriminasi di tempat kerja, malah dilayan secara berbeza. Hakikatnya, HIV tidak berjangkit melalui sentuhan biasa atau interaksi harian.
“Stigma ini lahir daripada salah faham dan kekurangan ilmu. Apabila masyarakat memilih untuk memahami dan bukannya menghukum, kita sebenarnya sedang meringankan beban emosi yang ditanggung oleh mereka,” jelasnya.
Menurut Rafiq, harapan terbesar golongan berkenaan sebenarnya amat mudah, iaitu mahu diterima sepenuhnya sebagai manusia yang mempunyai hak dan maruah yang sama dalam masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, mereka amat mengharapkan sistem kesihatan memberikan layanan yang profesional dan mesra serta menjamin kerahsiaan maklumat perubatan.
Pada peringkat institusi kekeluargaan pula, Rafiq mengakui golongan berkenaan mendambakan kasih sayang, sokongan emosi tanpa syarat serta dorongan berterusan untuk terus menjalani rawatan.
Akhir sekali, dari sudut pandang masyarakat, mereka hanya mahukan peluang untuk menjalani kehidupan seperti biasa, termasuk hak untuk bekerja, membina keluarga serta menyumbang kepada pembangunan negara tanpa dipandang serong atau dipinggirkan.
Pesanan Buat Individu Baharu Disahkan Positif
Dalam pada itu, Rafiq menitipkan pesanan penuh makna kepada individu yang baharu menerima keputusan positif HIV.
“Pertama sekali, jangan berputus asa. Sains perubatan hari ini berkembang dengan pesat. Dengan rawatan yang konsisten, pemantauan berkala serta amalan gaya hidup sihat, anda mampu menjalani kehidupan yang panjang, berkualiti dan produktif,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pesakit supaya segera mendapatkan rawatan, mematuhi arahan petugas kesihatan serta tidak memendam cabaran tersebut seorang diri.
“HIV bukanlah pengakhiran kehidupan. Dengan rawatan yang betul, sokongan padu daripada orang sekeliling serta harapan yang tinggi, setiap individu masih mampu membina masa depan yang lebih baik,” katanya mengakhiri bicara.



