Generasi muda merupakan generasi pewaris kepimpinan negara.
Maka menjadi kewajipan kita memelihara mereka dengan sebaik mungkin dan menyediakan bekalan untuk mereka menghadapi cabaran dunia.
Tanpa adanya ilmu dan persediaan mencukupi, kita mungkin melihat kehancuran perkembangan masa depan tanah air tercinta.
Kita perlu sedar akan kepentingan perkara sebegini terhadap masyarakat sekarang demi membina negara yang maju dan berjaya.
Bahkan kita dapat lihat, generasi muda kini semakin menguasai dunia media sosial.
Bayangkan sekiranya kehidupan mereka dicorak dengan sekadar hiburan dan gaya hidup bebas semata-mata, pasti kita melihat kejatuhan mereka apabila terjebak dengan kehidupan tidak bermoral.
Sebagai contoh, kita dapat melihat bagaimana penyakit AIDS semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat. Begitu juga dadah kerana penggunanya semakin meningkat, malah dalam kalangan anak muda.
Jadi, apakah peranan kita sebagai generasi yang bakal meninggalkan dunia ini melakukan pengorbanan dan memberi bekalan secukupnya terhadap mereka.
Kerjasama amat diperlukan daripada semua pihak untuk bersama-sama melakukan perubahan demi mencapai matlamat yang diimpikan.
Firman Allah SWT dalam al-Quran: “Dan carilah pada apa-apa yang dianugerahkan Allah daripada kebaikan akhirat dan jangan pula lupa mencari kebaikan kehidupan dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dan janganlah membuat kerosakan, sesungguhnya Allah tidak menyukai golongan yang membuat kerosakan.” (maksud al-Qasas: 77)
KEPENTINGAN ILMU AGAMA
Sabda Rasulullah SAW: “Mencari ilmu ialah fardu ke atas setiap Muslim.” (maksud hadis riwayat Ibnu Majah)
Jelas kita dapat melihat bagaimana menuntut ilmu menjadi kewajiban terhadap setiap insan terutama apabila kita berbicarakan tentang ilmu agama.
Ini kerana, dengan ilmu agama kita dapat memelihara diri seseorang itu daripada segala kemaksiatan serta dapat membina sahsiah yang sempurna.
Sehubungan itu, ilmu agama menjadi benteng kukuh bagi membanteras generasi anak muda daripada terpengaruh anasir kemaksiatan dan memusnahkan generasi muda.
Oleh itu, kita dituntut Islam agar bersungguh-sungguh menuntut ilmu pengetahuan supaya semakin bertambah ilmu, maka semakin dekatlah diri kita dengan Allah SWT.
Agama merupakan cahaya yang bakal menerangi setiap perjalanan yang ditempuhi generasi muda akan datang.
Allah berfirman kedudukan orang yang mengetahui ilmu agama Islam menerusi firman-Nya: “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui (ilmu agama) dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (maksud az-Zumar: 9)
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” (maksud hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan tersebut, anak yang soleh merupakan saham ibu bapa untuk memperoleh pahala berterusan walaupun meninggal dunia.
Inilah pendapat imam Nawawi iaitu anak yang soleh merupakan hasil didikan ibu bapa dan mereka berhak untuk mendapatkannya.
Justeru, kita sebagai masyarakat harus berganding bahu mencipta masa depan yang indah dan keselesaan buat generasi yang seterusnya.



