Terapi untuk pesakit Leukemia

MESKIPUN masih di peringkat klinikal, namun ia sudah tentunya memberi sinar harapan buat pesakit kanser darah Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) berbalik atau tegar.

Usaha yang giat dilakukan oleh Pusat Terapi Sel, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini adalah solusi akhir berpotensi merawat pesakit ALL yang tidak dapat dirawat dengan kemoterapi atau kebal terhadap rawatan tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Pusat Terapi Sel HCTM Prof Dr S Fadilah Abdul Wahid berkata, penemuan penyelidikan terapi sel Chimeric Antigen Receptor-T (CART) untuk pesakit ALL adalah pilihan terakhir untuk mereka buat masa ini.

“Mereka yang mempunyai masalah dengan kemoterapi layak dan boleh mencuba rawatan ini, “ kata beliau.

Sel CAR-T adalah sel T yang diubah suai dan dikembang biak di makmal, dan kemudian disuntik semula kepada pesakit kanser.

“Sel CAR-T dalam kajian ini menggunakan antigen CD19 (bahan protein atau toksin yang merangsang pembentukan atau pengeluaran antibodi jika disuntikkan ke dalam tubuh), ia akan mengenal pasti dan membunuh sel kanser.

Ketua Penyelidik Utama Dr S Fadilah berkata hanya pesakit ALL yang berusia 13 tahun ke atas dibenarkan mendapatkan rawatan Sel CART-T di HCTM.

Menurut beliau, pihak hospital terlebih dahulu melakukan saringan mengikut kriteria yang ditetapkan dan seterusnya mengenal pasti sama ada pesakit sesuai ataupun tidak menjalani rawatan tersebut.

“Pesakit yang sesuai menjalani prosedur leukaferesis selama tiga hingga empat jam bagi memungut sel mononuklear dari darah.

“Sel mononuklear berjaya diekstrak dihantar ke makmal bertaraf GMP bagi memulakan proses penghasilan dan pengkulturan sel CAR-T yang mengambil masa 10 hingga 21 hari, “ katanya.

Beliau menambah, sebelum sel CAR-T disuntik kepada pesakit, mereka harus menjalani beberapa proses seperti menjalani ujian tulang sumsum bagi mengenal pasti tahap sel kanser dan menjalani kemoterapi dengan dos yang rendah selama tiga hari.

Kesan Sampingan

Menjelaskan lebih lanjut prosedur rawatan tersebut, Dr S Fadilah berkata, sel CAR-T dimasukkan sekali sahaja ke dalam badan pesakit melalui salur darah secara kaedah infusi intravena.

“Keberkesanan sel CAR-T pula dapat dilihat dalam tempoh tiga hingga empat minggu bergantung kepada badan pesakit.

“Tempoh rawatan sel CAR-T ialah kira-kira setahun, manakala pulih sepenuhnya mengambil masa lima tahun,” katanya, sambil menambah, di samping keberkesanan rawatan, pesakit juga berhadapan dengan dua kesan sampingan.

Pertama, kebanyakan pesakit mengalami kesan sindrom rembesan sitokin Cytokine-release syndrome (CRS) iaitu sindrom keradangan sistem akut dan juga mengalami demam dan organ gagal berfungsi dengan baik.

Kesan sampingan kedua ialah Neurotoxicity iaitu merujuk kepada kegagalan pada otak atau sistem saraf periferal, berikutan pendedahan kepada bahan toksik semula jadi atau buatan manusia.

Toksin tersebut dapat mengubah aktiviti sistem saraf dengan cara gangguan atau membunuh saraf.

Perjanjian Penyelidikan Untuk rekod, Pusat Terapi Sel HCTM UKM menandatangani Perjanjian Penyelidikan (RDA) dengan Plutonet Sdn Bhd pada 23 Julai lepas untuk mengoptimumkan potensi fungsi aplikasi klinikal menggunakan sel (CAR-T) dalam rawatan penyakit kanser darah ALL.

Plutonet Sdn Bhd ialah syarikat Cryocord Group membelanjakan RM1 juta bagi membantu ujian klinikal dalam mengenal pasti keberkesanan dan keselamatan rawatan kanser darah melibatkan sel CAR-T.

Pada masa yang sama, syarikat induk Cryocord Group juga membina makmal Biosafety Level-2 (BSL-2) mengikut ketetapan yang sesuai bagi memastikan segala prosedur melibatkan kerja genetik tersebut mengikut piawaian.

Pengarah Plutonet, James Then berkata rawatan sel CAR-T merupakan yang pertama di Malaysia dan pihaknya komited menanggung perbelanjaan 10 pesakit menjalani ujian klinikal tersebut.

“Kami berusaha memajukan teknologi perubatan seperti ini di Malaysia bagi membantu menyelamatkan pesakit yang memerlukan rawatan seperti ini,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak