Di sebalik namanya yang gah, Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) merupakan institusi kemanusiaan yang gigih meruntuhkan tembok stigma, merawat luka emosi yang terpendam serta membina jambatan masa depan bagi individu yang hidup dengan Virus Kurang Imun Manusia (HIV) di Sarawak.
Pusat sehenti ini ialah tempat untuk memulihkan maruah dan menyalakan semula semangat yang hampir padam.
Menyingkap sejarah penubuhannya, usaha awal penubuhan TKTN mula digerakkan sekitar 2016 sebelum pusat ini dirasmikan pada 2017.
Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menyediakan ruang selamat dan rumah transit kepada golongan yang hidup dengan HIV (PLHIV).
Diilhamkan dan dinaungi oleh Datuk Amar Jamilah Anu, pusat sehenti ini dinamakan bersempena dengan nama suami beliau, bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan), sebagai lambang legasi keprihatinan beliau.
Usaha murni ini merupakan inisiatif kerjasama tiga pihak antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dengan Yayasan Sime Darby.
Pada peringkat awal penubuhannya, landskap rawatan HIV di Sarawak berdepan dengan cabaran geografi yang besar.
Klinik kesihatan di kawasan luar bandar yang menyediakan rawatan antiretroviral (ARV) amat terhad, menyebabkan sebahagian besar pesakit dari daerah yang jauh terpaksa ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk mendapatkan bekalan ubat dan rawatan pakar.
Cabaran ini bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan, malah turut menguji daya tahan fizikal dan kemampuan kewangan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
Bayangkan pergelutan pesakit yang terpaksa keluar dari rumah seawal jam 3.00 pagi, meredah jalan balak yang berdebu atau menaiki bot ekspres menyusuri sungai semata-mata untuk menghadiri janji temu di hospital.
Ramai yang tiba di bandar pada awal pagi, namun urusan rawatan hanya selesai pada lewat petang sehingga menyebabkan mereka berada dalam keadaan fizikal yang lemah dan keletihan emosi tanpa tempat untuk berteduh.
Sebelum adanya TKTN, ramai pesakit terpaksa merayau-rayau atau menunggu di stesen bas dalam keadaan yang tidak selesa.
Atas dasar ihsan itulah, Teratak Kasih diwujudkan sebagai tempat transit dan ruang selamat untuk mereka berehat sementara mendapatkan rawatan, sekali gus memberikan perlindungan yang amat diperlukan dalam fasa kritikal tersebut.
Sokongan PenuhPesakit HIV
“Kami mahu setiap kali insan yang hidup dengan HIV mendengar nama Teratak Kasih Tok Nan, mereka tidak lagi melihat kegelapan malam, sebaliknya melihat sebutir cahaya, iaitu simbol harapan dan ruang selamat untuk bangkit semula meneruskan kehidupan.”
Demikian kata Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan (TKTN), Dr. Ruziana Miss, yang merangkumkan semangat dan komitmen yang dicurahkan dalam usaha yang dilaksanakan di bawah naungan Yayasan AIDS Malaysia (MAF).
Menurut Dr Ruziana, seiring dengan peredaran masa, fungsi TKTN tidak lagi sekadar sebagai tempat persinggahan sementara.
Pusat ini juga digunakan secara optimum sebagai pejabat Yayasan AIDS Malaysia Cawangan Sarawak bagi menjalankan pelbagai aktiviti bantuan serta program sokongan komuniti yang holistik.
Kini, selain menyediakan kemudahan rumah transit, TKTN turut menjalankan pelbagai aktiviti latihan kemahiran, sesi kaunseling serta program saringan HIV dan hepatitis C yang penting.
“Apabila komuniti mengetahui tempat ini selamat dan mesra, mereka lebih selesa datang untuk menjalani saringan kesihatan yang menjadi langkah awal bagi mengawal penularan penyakit.
“Sebagai pusat operasi utama MAF Sarawak, pihak pengurusan bertindak sebagai penghubung antara pesakit dengan pelbagai bentuk bantuan melalui rujukan hospital dan klinik kesihatan.
“Mereka memproses setiap permohonan bantuan dengan teliti bagi memastikan sumbangan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Antara skim bantuan utama yang ditawarkan menerusi pusat ini ialah bantuan tambang perjalanan di bawah Program Akses Kesihatan Sarawak (SHAPE),” ujarnya dalam sesi temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak di TKTN baru-baru ini.
Tambah beliau, insentif SHAPE ini dirangka khusus untuk membantu PLHIV dan pesakit kronik lain hadir ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan.
Dr Ruziana mengakui bantuan tersebut sedikit sebanyak berjaya mengurangkan beban kewangan mereka, khususnya sebahagian besar pesakit yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak dan terpaksa menempuh perjalanan berpuluh-puluh kilometer tanpa akses kepada pengangkutan awam yang mudah.
Malah, katanya, selain bantuan tambang perjalanan, TKTN turut menyediakan skim bantuan perubatan yang penting, iaitu pembiayaan khusus untuk PLHIV yang memerlukan ubat ARV barisan kedua.
Majoriti penerima bantuan terdiri daripada golongan B40 yang berdepan dengan himpitan ekonomi.
Dr Ruziana menekankan bahawa bantuan yang diberikan, walaupun hanya antara RM50 hingga RM100, memberikan impak yang amat besar kepada mereka.
Jumlah tersebut mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, namun bagi penduduk pedalaman, ia menentukan sama ada mereka dapat ke hospital atau terpaksa membatalkan janji temu.
Lazimnya, pesakit perlu mendahulukan kos perjalanan menggunakan wang sendiri sebelum membuat tuntutan semula, manakala proses bayaran balik yang mengambil masa sekitar dua minggu dikendalikan dengan penuh integriti oleh pihak TKTN bagi memastikan kelangsungan rawatan mereka tidak terganggu.
“Ada pesakit yang mengalami tekanan emosi atau kemurungan selepas mengetahui status HIV mereka.
“Oleh itu, sesi kaunseling dan sokongan psikososial amat penting untuk membantu mereka meneruskan kehidupan serta memastikan kepatuhan terhadap rawatan,” jelas Dr. Ruziana.
Selain bantuan material, TKTN turut memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan emosi kepada golongan berkenaan.
TKTN turut menerima rujukan daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO), selain menggunakan dana daripada Majlis AIDS Malaysia untuk menyediakan bantuan sara hidup serta bantuan kecemasan seperti pembelian susu formula, makanan dan keperluan asas kepada pesakit yang berada dalam keadaan mendesak.
Dalam usaha memperkasakan ekonomi pesakit, TKTN turut memudah cara penyaluran bantuan sosioekonomi berbentuk modal kecil atau pinjaman mikro bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Bagi pesakit yang menghadapi diskriminasi dalam dunia pekerjaan, mereka dirujuk kepada Persatuan Prihatin AIDS Sarawak (SACS) yang bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Program BangKIT.
Program ini bertujuan membantu PLHIV mendapatkan peluang pekerjaan yang adil, sekali gus membuktikan status kesihatan bukanlah penghalang untuk seseorang menyumbang kepada masyarakat dan menyara keluarga secara bermaruah.
Aspek literasi kesihatan turut menjadi keutamaan di TKTN menerusi kerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
MAF menyediakan dana bagi aktiviti advokasi dan pendidikan, manakala Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menyumbangkan kepakaran teknikal.
Pelbagai program dijalankan, termasuk seminar kesedaran dan sambutan Hari AIDS Sedunia bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat mengenai HIV.
Malah, TKTN sering menganjurkan rumah terbuka sempena perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai bagi memberi peluang kepada media serta pelbagai agensi untuk mengenali peranan dan fungsi pusat itu dengan lebih dekat.
Dr. Ruziana percaya semakin ramai masyarakat berbicara tentang HIV secara terbuka dan berasaskan fakta, semakin berkurangan stigma serta diskriminasi terhadap komuniti ini.
Stigma biasanya berpunca daripada ketidakfahaman masyarakat mengenai cara penularan HIV, langkah pencegahan dan keberkesanan rawatan moden.
Ramai yang masih mengaitkan HIV dengan perkara negatif, sedangkan hakikatnya sesiapa sahaja boleh berisiko dijangkiti HIV, termasuk wanita dan bayi.
Melalui pendidikan yang berterusan, TKTN berusaha memperbetulkan persepsi tersebut.
Operasi mereka kini berkembang ke kawasan lain di Sarawak seperti Bintulu dan Miri hasil sokongan padu daripada pelbagai penaja korporat serta institusi seperti Baitulmal Sarawak, PETRONAS dan CIMB.
Harapan warga TKTN adalah agar sokongan ini terus berterusan, sekali gus membolehkan mereka kekal sebagai peneraju dalam penyediaan perkhidmatan sokongan yang holistik.
Akhir kata, Teratak Kasih Tok Nan bukan sekadar rumah transit, tetapi juga pelabuhan harapan bagi mereka yang ingin bangkit semula dan melangkah ke hari esok dengan penuh keberanian.



