Terbit Kamus Bahasa Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia Datuk Abang Sallehudin Abang Shukran di sini, semalam.

Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk memaklumkan kepada Ketua Menteri akan hasrat DBP Malaysia untuk menerbitkan Kamus Bahasa Sarawak tahun ini.

Kamus Bahasa Sarawak itu merupakan kamus dalam bahasa Iban serta Melanau Vaie dan, cerita rakyat suku kaum di Sarawak juga bakal diterbitkan.

Penerbitan itu bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan masyarakat di Semenanjung dan Sabah agar dapat memahami lebih dekat budaya dan cerita rakyat di Sarawak.

Abang Johari turut menerima kunjungan hormat dari Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia yang merancang menawarkan lebih banyak jurusan pendidikan jarak jauh di Sarawak.

Kunjungan itu diketuai oleh Pengarahnya Profesor Madya Dr Halim Mad Lazim. Abang Johari turut menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Persaudaraan Melayu Betong/Sri Aman semalam.

Pertemuan itu bertujuan membincangkan perancangan pembangunan di atas sebidang tanah yang diberikan Kerajaan Negeri sebagai pusat aktiviti persatuan tersebut kelak.

Yang Dipertua Persatuan Dr Zulwali Kifli Merawi memberitahu, kunjungan itu juga adalah sebagai tanda terima kasih atas keprihatinan dan sokongan daripada Abang Johari kepada persatuan selama ini.

Suara Sarawak