Terdesak atau tidak?

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MEMBACA kisah seorang lelaki bernama Noorazlan Ismail, yang sanggup berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai di Johor menuju ke Istana Negara, bagi memperjuangkan hak untuk mengeluarkan simpanan KWSP sedikit banyak menjentik rasa simpati kita.

Bagi lelaki ini, pengeluaran carumannya penting untuk membebaskan dia daripada lingkaran hutang termasuk desakan hidup lima anaknya yang masih bersekolah. 

Dia antara beribu-ribu rakyat Malaysia yang terdesak.

Bagi yang tiada isu pengeluaran KWSP, perjuangannya jangan dipandang sebelah mata.

Kita tidak berdiri di dalam kasut `mereka.

Untuk rekod, pada 29 Mac lalu Norazlan mencuri tumpuan ramai apabila nekad berjalan kaki bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kesusahannya disedari kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rayuan ini bukan untuk meraih simpati, tetapi lebih kepada menzahirkan suara hati sebahagian besar rakyat Malaysia yang mengharapkan secebis sinar kala hidup dibebani tanggungjawab yang berat.

Rintihan kepada Anwar Ibrahim dapat dilihat berlegar di hampir semua media sosial yang rata-rata menolak cadangan kerajaan mencagar Akaun 2 KWSP terutamanya fasa pertama yang memberi laluan kepada pencarum berusia 40 tahun hingga 55 tahun.

Apakah yang terdesak dalam lingkungan usia 40 hingga 55 tahun sahaja?

Atau fasa pertama kerana melihat kepada keperluan usia yang menghampiri usia persaraan yang boleh mengeluarkan KWSP?

Pada pandangan saya, lingkungan usia yang benar-benar mungkin terdesak ialah mereka yang berusia 30 hingga 45 tahun.

Itu mungkin, tidak perlu bersetuju atau tidak. Bagi yang berusia 50 hingga 55, usia itu sudah dapat mengeluarkan Akaun 2 tanpa perlu membuat cagaran di bank.

Jadi, untuk apa membenarkan kumpulan usia ini meminjam di bank kemudian mencagarkan caruman mereka? 

Baca di laman rasmi KWSP antaranya berbunyi – fasiliti sokongan Akaun 2 satu kemudahan yang bertujuan untuk membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Simpanan dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun.

Permohonan awal ini akan membolehkan ahli mengambil kira simpanan yang ada dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan dan bayaran pengeluaran hanya akan dibuat kepada pihak institusi perbankan apabila ahli mencapai umur 50 tahun hingga 55 tahun, tertakluk kepada pilihan umur pengeluaran ahli.

‘Membantu ahli mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan’ – walaupun ia menyebut permohonan awal pengeluaran bersyarat, ia tetap dikeluarkan melalui terma pembiayaan peribadi institusi perbankan pada kadar antara 4 peratus hingga 5 peratus. 

Manakala syarat sedia ada pengeluaran persaraan KWSP pula menyebut – boleh membuat sekali sahaja pengeluaran sebahagian ataupun kesemua simpanan Akaun 2 apabila mencapai umur 50 tahun untuk digunakan sebagai persediaan untuk persaraan anda.

Jika anda berusia 49 tahun atau beberapa bulan sahaja lagi mencapai 50 tahun, anda berpeluang mengeluarkan kesemua Akaun 2 tanpa mencagarnya di bank.

Namun bagi yang benar-benar terdesak, yang tidak dapat menunggu walau sebulan lagi, terma pinjaman ini boleh diguna pakai.

Kerana apa yang rakyat mahu adalah masa sekarang bukan 15 tahun akan datang.

Deritanya hari ini, ada yang rumah hebnak dilelong, anak masuk universiti malah sesetengahnya menuju fasa gelap diisytiharkan muflis.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju, justeru, boleh diam.

Saya ada ramai kawan-kawan lama yang putus harapan untuk hidup selepas Covid-19 melanda. 

Mereka antara 700,00 orang yan dibuang kerja pada PKP pertama.

Yang bekerja kilang ternama, terpaksa berhenti kerja, yang bekerja di firma swasta pun putus pekerjaan dan harapan terakhir mereka menunggu usia 50 tahun untuk mengeluarkan Akaun 2 – bukan mencagarnya. 

Mereka juga antara yang makan gaji besar, bukan bergaji cukup makan.  

Sesetengah individu mungkin berpendapat, jangan keluar KWSP jika tidak mendesak, kenang simpanan hari tua.

Setelah mendengar luahan kawan-kawan, saya sedar kita tidak sepatutnya mengejek atau menghukum mereka yang terdesak mengeluarkan KWSP kerana kita tidak berada dalam masalah mereka.

Justeru, kerajaan sekurang-kurangnya wajar mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran secara bersasar dan bersyarat. Isu desakan rakyat terhadap KWSP masih dilihat tiada penghujung, semakin ramai daripada pelbagai golongan dilanda kesempitan, walaupun datang daripada kategori T20. 

Sesetengah golongan T20 yang kini jatuh teruk ada simpanan melebihi RM300,000 dalam Akaun 1. Tetapi kena tunggu usia 55 tahun.

Jika kini, usianya 45 tahun jadi kena tunggu 10 tahun lagi untuk menikmati wang carumannya yang dia kira, jika dibenarkan mengambil Akaun 1, setengah daripada simpanannya, masalah rumah yang hampir kena lelong mungkin selesai.

Rakyat boleh terus merayu dan merintih, namun tiada jawapan pasti untuk persoalan itu sebenarnya, kerana dalam konteks sekarang, sukar untuk dipastikan matlamat sebenar pengeluaran yang memerlukan cagaran simpanan.

Realitinya inilah hidup, manusia tidak pernah terlepas diuji.

Desakan hidup juga mampu membuatkan manusia melakukan apa-apa saja demi survival hidup.

Jadi, terus bertahan untuk hidup kerana di negara lain, ada penduduk yang lebih susah daripada kita.

Bersyukurlah dengan apa yang ada. Berusaha untuk bangkit merawat kepayahan. Hari esok pasti masih ada sinar.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Wartawan tanpa jiwa

PADA Selasa, saya menyunting artikel mengenai perisian teknologi yang diperakui

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja