ARTIKEL

Terengganu tenang berhadapan Harimau Selatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner optimis pasukannya tidak terlalu tertekan untuk berhadapan skuad Harimau Selatan pada perlawanan akhir Piala Malaysia, malam esok (Jumaat).

Malah pengendali kelahiran Croatia itu berkata skuad Penyu konsisten membuat persiapan dan latihan seperti biasa bagi memberi saingan terbaik untuk merebut piala paling berprestij bola sepak negara itu.

Bagaimanapun, Steinbruckner mengakui anak buahnya menggalas tugas berat berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turun selaku pasukan pilihan yang memiliki pelbagai kelebihan terutama dari aspek kualiti pemain.

“Kita tahu kualiti pemain individu JDT adalah lebih baik dari kami. JDT juga mempunyai pasukan kedua yang sangat bagus. “Jika mereka meletakkan pasukan kedua dalam kesebelasan utama, tidak menjadi masalah bagi mereka.

“Tetapi berapa kali dalam sejarah kita mempunyai pasukan pilihan dan akhirnya pasukan lain memenangi kejohanan. “Mungkin kita boleh melakukan kejutan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), petang semalam.

Selain itu, Steinbruckner berkata pasukannya juga turut bersedia sekiranya perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan atau penentuan penalti. Justeru, beliau turut memberi fokus kepada latihan meningkatkan kecergasan bagi memastikan pemain dapat terus bertahan serta berjuang membawa pulang piala yang kali terakhir dimenangi TFC pada 2001 itu. “Diheret ke masa tambahan…. ia baik untuk kami.

Kami akan melakukan yang terbaik. Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa hanya akan berjuang ke tahap maksimum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa gusar dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang bakal menjadi medan akhir pertarungan merebut piala paling berprestij negara sekali gus berharap sebarang masalah yang timbul boleh diselesaikan untuk membolehkan kedua-dua pasukan beraksi dalam keadaan baik. “Semua orang mahu bermain di padang yang baik. Tetapi ia adalah sama bagi kedua-dua pasukan.

“Dan siapa tahu mungkin situasi ini lebih baik untuk pasukan kami. Kita akan lihat,” katanya.- Bernama

LAIN-LAIN BERITA

Harimau Malaya pindah kandang jika…

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai perancangan sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil tidak bersedia untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Harimau

Pencarian bakat baharu di Betong

BETONG: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini, menzahir ucapan terima kasih kepada pihak Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak

BERITA TERBARU