Terima kasih Abang Jo

SARIKEI: Langkah proaktif Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk daerah ini.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek yang diluluskan di Sarikei seperti Jalan Sarikei ke Tanjung Manis dan Taman Agropark Sungai Baji membawa faedah besar dalam tempoh jangka panjang.

Malah katanya, projek yang dilengkapi dengan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) merancakkan lagi pembangunan terutama dalam sektor pertanian.

“Kita sedia maklum, Sarikei terkenal dengan jolokan sebagai pengeluar hasil pertanian negeri ini. Justeru, Kerajaan Sarawak mengambil langkah positif ini kerana sedar akan potensi berkenaan.

“Bagi saya ini merupakan satu peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Transformasi Digital di Pusat Inovasi Sarikei (SIC) hari ini.

Huang (duduk tengah) bersama peserta program Minggu Transformasi Digital di SIC Sarikei

Huang berkata, program itu diadakan sejajar perubahan pantas bidang komunikasi dan multimedia.

Katanya, penganjuran aktiviti berkenaan bermatlamat memperkasakan penguasaan masyarakat dalam ekonomi digital terutama di kawasan luar bandar.

“Ini merupakan sebahagian inisiatif kita untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang peranan penting Teknologi Maklumat (IT). Sekurang-kurangnya kita dapat memberi panduan kepada peserta tentang cara betul menggunakan kemudahan ini.

“Sehubungan itu, saya berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu yang mereka pelajari dengan sebaik-baiknya untuk memajukan diri,” ujarnya.

Beliau berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melaksanakan pebagai program bagi merancakkan pembangunan untuk rakyat termasuk di DUN Repok.

“Saya menyeru penduduk agar terus bersatu dan memberikan kerjasama agar semua perancangan pembangunan ini dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Pada masa yang sama, saya mewakili seluruh warga Sarikei ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana begitu prihatin dengan keperluan kami di sini,” tambahnya.

Hadir sama Hadir sama, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua dan Pengerusi I Cube Innovation, Dato Patrick Liew.

Antara peserta yang mengambil bahagian.

 

Majlis penyampaian cenderamata kepada tetamu jemputan.

Suara Sarawak