ARTIKEL

Terima kasih cikgu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

APAKAH dosa saya sampai kamu semua bodoh? Ungkapan itu masih terngiang-ngiang di telinga saya walaupun sudah bertahun-tahun meninggalkan alam persekolahan. Setiap kali kelas subjek Sejarah Tingkatan Enam bermula, kami sudah bersedia mendengar suara tegas guru yang cukup terkenal dengan ungkapan itu. Bagi orang luar, mungkin kedengaran garang dan lucu, tetapi bagi kami itulah tagline yang menjadikan beliau begitu diingati sampai hari ini.

Setiap orang pasti mempunyai guru kesayangan masing-masing. Ada yang memilih guru yang lembut tutur katanya, ada yang memilih guru yang sporting dan mudah dibawa bergurau. Namun dalam ramai-ramai guru dan pelbagai perangai kawan-kawan yang kadang-kadang pelik, guru Sejarah inilah yang menjadi guru kesayangan saya dan paling saya ingati sehingga hari ini.

Di sebalik ketegasan itu sebenarnya tersembunyi seorang guru yang terlalu sayangkan anak muridnya. Beliau tidak pernah jemu mengulang fakta, melakar peta sejarah di papan putih dan memastikan kami benar-benar faham sebelum melangkah keluar dari kelas. Kadang-kadang kami mengeluh kerana terpaksa menghafal tarikh, tokoh dan peristiwa penting, namun, hari ini kami sedar semua itu membentuk disiplin dan cara berfikir kami.

Guru Sejarah kami bukan sekadar mengajar tentang perang, kemerdekaan atau tamadun dunia. Beliau mengajar kami memahami asal usul, menghargai perjuangan dan belajar daripada kesilapan masa lalu. Cara beliau mengajar penuh emosi dan semangat sehingga kelas yang biasanya dianggap membosankan bertukar menjadi antara kelas paling ditakuti di sekolah.

Sempena Hari Guru ini, saya percaya ramai bekas pelajar masih mengingati wajah dan suara guru tersebut. Ada ayat yang mungkin membuat kita ketawa apabila dikenang semula tetapi di situlah lahirnya kasih seorang pendidik yang mahu melihat anak murid berjaya.

Kini apabila kehidupan semakin dewasa dan penuh cabaran, saya akhirnya memahami maksud sebenar ketegasan itu. Guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi insan yang sanggup memikul rasa kecewa, marah dan penat demi memastikan pelajar tidak gagal dalam kehidupan.

Selamat Hari Guru kepada semua pendidik yang pernah “membebel”, memarahi dan mendisiplinkan kami. Mungkin waktu itu kami tidak memahami, tetapi hari ini kami tahu semuanya kerana cikgu terlalu peduli terhadap masa depan kami. Tanpa guru, mungkin ramai antara kami tidak akan mengenal erti usaha, disiplin dan tanggungjawab. Ada nasihat yang dahulu terasa pedih, kini menjadi bekal paling berguna apabila berdepan dunia sebenar.

Semakin meningkat usia, semakin saya sedar seorang guru sebenarnya membawa beban yang tidak pernah terlihat di mata pelajar. Mereka datang ke sekolah dengan pelbagai masalah sendiri, namun tetap berdiri di hadapan kelas mengajar dengan penuh komitmen. Mereka bukan sahaja mendidik pelajar yang rajin tetapi juga berusaha membentuk pelajar yang degil, malas dan kadang-kadang hampir putus harapan terhadap diri sendiri.

Mungkin sebab itulah ada guru yang kelihatan garang. Bukan kerana membenci tetapi kerana terlalu mahu melihat anak muridnya menjadi manusia yang berguna. Ketegasan seorang guru sebenarnya lahir daripada rasa tanggungjawab yang besar terhadap masa depan anak-anak didiknya.

Hari ini, apabila teringat kembali ungkapan — apakah dosa saya sampai kamu semua bodoh? — saya tidak lagi melihatnya sebagai kemarahan semata-mata. Saya melihatnya sebagai luahan seorang guru yang terlalu penat mengajar tetapi tetap tidak mahu berputus asa terhadap pelajarnya. Dan lucunya, ayat itulah yang membuatkan kami terus mengingati beliau sampai sekarang.

Sesungguhnya, ada guru yang meninggalkan kesan sehingga bertahun-tahun selepas kita meninggalkan sekolah. Guru Sejarah saya salah seorang daripadanya. Walaupun mungkin beliau tidak pernah tahu, setiap leteran, setiap suara tinggi dan setiap nasihatnya tetap hidup dalam ingatan kami sebagai sebahagian daripada perjalanan menjadi manusia dewasa.

Terima kasih cikgu. Kerana di sebalik ketegasan itu, kami akhirnya belajar bahawa kasih sayang tidak semestinya hadir dalam bentuk pujian dan kelembutan. Kadang-kadang ia hadir dalam bentuk suara yang kuat, wajah yang serius dan harapan yang tidak pernah putus terhadap anak muridnya. 

Terima kasih kepada semua yang mengajar saya tentang kerja dan hidup walaupun bukan seorang guru, terima kasih kepada guru anak-anak saya yang mendidik anak sampai menjejak ke universiti. Terima kasih cikgu!

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU