GENAP dua minggu hari ini, saya masih terkenang perbualan ringkas dengan seorang sahabat yang begitu teruja untuk kembali beraksi di gelanggang sepak takraw Kasmera.
Dengan bersemangat dia memberitahu, apabila kesihatannya mengizinkan, dia akan turun bermain semula.
Katanya, sudah lama dia merindui suasana gelanggang. Namun, perancangan manusia tidak pernah mengatasi ketentuan Allah SWT. Ahad lalu, sahabat kami, Ezam, menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung dengan kanser hati tahap empat.
Berita pemergiannya hadir melalui satu pesanan WhatsApp yang ringkas tetapi cukup meruntun hati. “Salam.
Masa tok saudara Ezam kita dah sikda gik… Masih di hospital… Tunggu berita pengesahan.”
Saya membaca mesej itu berulang kali. Hati seolah-olah enggan menerima hakikat.
Jantung berdegup lebih pantas, fikiran menjadi kosong seketika.
Walaupun kami semua mengetahui keadaan kesihatannya semakin merosot, jauh di sudut hati masih tersimpan harapan agar dia mampu melawan penyakit itu.
Perasaan kehilangan ini bukan sesuatu yang baharu.
Dua tahun lalu, saya turut kehilangan seorang sahabat yang sangat rapat.
Kesedihan yang saya rasakan ketika itu kembali hadir dengan cara yang hampir sama.
Bezanya hanya nama dan wajah, tetapi rasa pilu yang ditinggalkan tetap serupa.
Setiap kehilangan mengajar bahawa usia bukan ukuran, sihat bukan jaminan dan hari esok pula bukan sesuatu yang pasti.
Kita merancang untuk bertemu minggu hadapan, bermain bersama atau berkumpul.
Hakikatnya, ada pertemuan yang tidak sempat berlaku kerana masa mendahului segalagalanya.
Begitulah kehidupan. Kadangkala kita terlalu yakin seseorang akan sentiasa berada di sisi sedangkan Allah telah menetapkan — setiap pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan.
Bagi mereka yang mengenali Ezam, beliau bukan sekadar pemain sepak takraw.
Beliau ialah insan yang cukup bertanggungjawab dan komited terhadap apa-apa sahaja amanah yang dipikul.
Dalam setiap pertandingan sepak takraw yang dianjurkan, Ezam menjadi antara individu paling sibuk.
Dari awal pagi hingga selesai acara, beliau sentiasa bergerak ke sana sini memastikan semuanya berjalan lancar. Beliau menyusun jadual pertandingan dengan penuh teliti supaya setiap pasukan mendapat layanan yang adil.
Jika berlaku perubahan, beliau pantas mencari penyelesaian tanpa menimbulkan kekeliruan.
Ketika perlawanan berlangsung, beliau turut mengambil tugas sebagai pengadil.
Ketegasannya dihormati pemain kerana setiap keputusan dibuat secara profesional tanpa memihak kepada sesiapa.
Tiba majlis penyampaian hadiah, Ezam bertukar peranan menjadi pengacara majlis.
Dengan suara yang jelas dan gaya penyampaian bersahaja, beliau menceriakan suasana. Tidak pernah sekali pun beliau merungut walaupun terpaksa memikul beberapa tanggungjawab dalam satu masa.
Baginya, yang penting pertandingan berjalan lancar dan semua peserta pulang dengan rasa puas. Itulah Ezam yang kami kenali.
Di sebalik ketegasannya, beliau sebenarnya seorang yang lembut hati, mudah mesra, senang didekati dan tidak lokek berkongsi ilmu.
Ramai pemain muda pernah menerima tunjuk ajar daripadanya. Ada yang datang dengan bakat yang masih mentah, kemudian pulang dengan keyakinan baharu hasil dorongan dan latihan yang diberikannya. Beliau percaya sukan bukan sekadar mengejar kemenangan.
Sukan ialah medan membina disiplin, persahabatan dan saling menghormati.
Sebab itu, Ezam tidak pernah jemu melatih, menasihati dan memberi semangat kepada pemain-pemain muda dan senior.
Hari ini, ada antara mereka yang sudah menempa nama dalam pelbagai kejohanan.
Walaupun kejayaan itu milik pemain, sedikit sebanyak ia turut membawa jejak pengorbanan seorang insan bernama Ezam.
Ada orang dikenang kerana jawatannya dan ada yang diingati kerana kekayaannya.
Namun Ezam akan dikenang kerana budinya. Beliau tidak pernah mencari publisiti.
Ketika orang lain menikmati kemeriahan pertandingan, beliau masih sibuk memastikan jadual dipatuhi, keputusan direkodkan dan segala keperluan peserta disediakan.
Mungkin ramai tidak menyedar besarnya sumbangan itu ketika beliau masih ada.
Selepas pemergiannya, barulah kami sedar banyak perkara yang selama ini berjalan lancar sebenarnya hasil kesungguhan beliau.
Sesungguhnya, kehilangan seorang sahabat bukan sekadar kehilangan seseorang untuk diajak berbual atau bergurau senda.
Kita kehilangan seorang yang pernah berkongsi ketawa, pengalaman dan bersamasama melalui pelbagai kenangan yang tidak mungkin berulang.
Kini setiap kali berada di gelanggang Kasmera, ingatan pasti kembali kepada dirinya.
Seolah-olah masih terbayang kelibatnya menyusun kerusi, memanggil pemain memasuki gelanggang atau mengusik rakan-rakan dengan gurauan.
Suasana mungkin masih sama, tetapi ada satu ruang yang tidak lagi terisi. Pemergian Ezam turut mengingatkan saya bahawa kita sering menangguhkan banyak perkara iaitu menangguhkan untuk bertemu sahabat, bertanya khabar, memohon maaf dan untuk mengucapkan terima kasih.
Sedangkan kita tidak pernah tahu siapakah antara kita yang akan dipanggil terlebih dahulu. Mungkin inilah pengajaran terbesar daripada sebuah kehilangan.
Selagi masih diberi kesempatan, hargailah setiap insan yang hadir dalam hidup kita.
Luangkan masa bersama-sama keluarga, sahabat dan kenalan.
Sebarkan kebaikan walaupun sekecil-kecilnya kerana kita tidak tahu amal yang mana akan menjadi penyelamat di hadapan Allah SWT. Sesungguhnya, manusia tidak akan hidup selamalamanya. Yang kekal hanya amal, budi dan kenangan yang ditinggalkan.
Apabila seseorang pergi dalam keadaan pernah memberi manfaat kepada orang lain, namanya akan terus disebut dengan doa dan rasa syukur.
Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham Ezam, melapangkan kuburnya, menerangi alam barzakh dengan cahaya rahmatNya serta menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Buat kami yang masih meneruskan perjalanan hidup, pemergianmu menjadi peringatan bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk disia-siakan. Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan persahabatan yang pernah kau berikan.
Gelanggang sepak takraw Kasmera akan terus menyaksikan perlawanan demi perlawanan, namun kehadiranmu tidak akan dapat digantikan.
Jejakmu mungkin tidak lagi kelihatan di atas gelanggang, tetapi akan sentiasa terpahat dalam ingatan setiap insan yang pernah mengenalimu. Al-Fatihah buat sahabat kami, Ezam.
Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan soleh.



