Terima kasih, jaga orang kampung kami

DALAT: Penduduk di sekitar Ulu Boah dibenarkan menjalankan aktiviti ekonomi masing-masing sebagaimana dibenarkan oleh kerajaan. Menurut Residen Mukah Hamdiah Bakir, meskipun sekatan jalan raya dilaksanakan di simpang ke Rumah Rantai dan jalan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Baoh, penduduk boleh melakukan aktiviti harian.
Jelasnya lagi, sejumlah 972 bungkus bantuan makanan kepada 486 penduduk di 12 rumah panjang dihantar.
“Kini seramai 22 positif di Rumah Simu dan sedang dirawat di hospital dan bantuan disalurkan sepanjang tempoh dua minggu sekatan dilaksanakan.
“Bantuan banjir juga dihantar oleh Jabatan Kebajikan,” katanya kepada Suara Sarawak selepas tinjauan dilakukan kelmarim.
Jelas Hamdiah, pihaknya juga meninjau petugas yang mengadakan sekatan jalan raya, yang komited memastikan tiada penduduk yang aktif melakukan pergerakan ke tempat lain dalam mengekang penularan Covid-19.
Malah pihaknya juga menghulurkan bekalan makanan, minuman kepada petugas di sekatan jalan kerana kawasan tersebut jauh dari kawasan bandar.
“Petugas barisan hadapan ini turut dibantu oleh penduduk untuk mendapat kemudahan seperti bekalan elektrik, air dan tandas.
“Kami merakamkan penghargaan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh penduduk setempat,” jelasnya lagi.
Turut hadir Pemangku Timbalan Residen Bahagian Mukah Safrie Saili, Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Po, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Haslinda Supu dan Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat.
Antara rumah terlibat ialah Rumah (Rh) Cina, Rh. Bajai, Rh. Meling, Rh. Rantai, Rh. Bihai, Rh. Agup, Rh. Ranggi, Rh. Sigah, Rh. Tinggi, Rh. Jawa dan Rh. Umpang Ilai.
Pada Khamis, Daerah Dalat mencatatkan 22 kes positif Covid-19 daripada Kluster Pasai di Sibu dan masa yang sama sehingga petang ini, keadaan banjir di Daerah Dalat dan Mukah masih dalam keadaan terkawal.

Suara Sarawak