SARIKEI: Penduduk Sarikei meluahkan rasa syukur dan gembira kerana impian mereka untuk menikmati jalan raya ke Tanjung Manis bakal menjadi kenyataan.
Ketika ditemui Suara Sarawak, penduduk memberitahu, ketika ini untuk ke Tanjung Manis mereka terpaksa melalui Sibu dengan jarak perjalanan melebihi dua jam.
Pesara kerajaan, Zainudin Rambli, 76, berkata, laluan baharu yang dibina oleh kerajaan itu menjadikan tempoh perjalanan lebih singkat.
Menurutnya, projek penting itu bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh rakyat tetapi bakal melengkapkan usaha kerajaan menyediakan jalan bagi kemudahan penduduk di kawasan pesisir Sarawak.

“Langkah positif Kerajaan Sarawak ini membawa khabar gembira kepada kami yang tinggal di pesisir pantai. Projek ini pastinya, membantu melonjakkan sosioekonomi rakyat apabila aktiviti pemasaran produk pertanian dan hasil laut dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan itu memudahkan keperluan dalam sektor pertanian dan perikanan dengan kos lebih rendah selain membangunkan tanah terbiar.
Sudah pasti katanya, usaha kerajaan negeri bersandarkan kepada kehendak dan keperluan rakyat persisir yang amat memerlukan pembangunan.
“Saya pasti, projek yang dilaksanakan oleh kerajaan ini akan membawa lebih banyak limpahan pembangunan bakal menyediakan keperluan asas seperti, air bersih dan elektrik yang boleh dinikmati rakyat,” katanya.
Iman I Bahagian Sarikei, Suhaili Arab, 75, berkata, pembinaan jalan raya baharu itu membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan kemudahan dapat dirasai secara adil oleh rakyat khususnya, mereka yang tinggal di pedalaman dan luar bandar.
Projek berkenaan katanya, akan menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar selaras dengan aspirasi masyarakat di kawasan tersebut.
“Diharapkan dengan siapnya pembinaan jalan raya itu penduduk dapat menikmati perhubungan lebih baik sekali gus memudahkan urusan mereka,” katanya.

Ketua Kaum Parit Bugis, Aisyah Abdullah berkata, penduduk Parit Bugis dan kawasan sekitarnya termasuk Muara Payang dan Bukit Huang amat memerlukan pembangunan terutama infrastruktur asas bagi memudahkan mereka membawa keluar hasil pertanian.
Malah katanya, tanah yang subur menjadikan bidang pertanian berpotensi besar untuk dikembangkan di kawasan berkenaan.
“Nenek moyang kami kami dahulu menetap di kawasan ini kerana selamat untuk diduduki. Tambahan pula, tanaman di sini semuanya menjadi.
“Malah nanas Sarikei yang cukup terkenal itu, semuanya berasal dari sini. Begitu juga kopi, kelapa, sayur-sayuran dan lain-lain lagi. Sehubungan itu, saya berharap kesan projek pembinaan jalan ke Tanjung Manis nanti dapat dirasai oleh kami di sini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ismail Kudak, 62, berkata, keyakinan mereka terhadap kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah berubah.
Katanya, sokongan penuh terhadap kerajaan negeri amat penting mampu memastikan transformasi pembangunan ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat tidak terjejas.
“Kami yakin kerajaan negeri dipimpin GPS akan terus berusaha melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.

