KUCHING: Kekalahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak harus dilihat sebagai wujudnya masalah antara penyandang dengan perwakilan.
Penganalisis Politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, banyak jasa dan khidmat bakti serta sumbangan beliau dalam memastikan kelestarian perancangan dan aspirasi parti selama ini.
“Ia harus dilihat dari lensa yang lebih positif iaitu keinginan perwakilan untuk memberikan peluang dan ruang kepada bakat baharu,” katanya diminta memberi maklum balas ke atas kekalahan Karim dalam perebutan jawatan Naib Yang Dipertua Parti PBB pada perhimpunan Parti PBB di sini, hari ini.
Jelasnya, bakat baharu yang belum diuji dan diketengahkan untuk membawa idea serta hala tuju baharu, dipercayai dapat mempertingkatkan dan mempercepat segala strategi yang rancak disusun oleh kerajaan melalui hierarki dan kedudukan baharu dalam parti.
Beliau memuji semangat Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang menyatakan soal kalah menang itu adalah adat dalam mana-mana pertandingan serta menerima kekalahan dengan terbuka.
“Biar kalah atau menang, kepentingan parti dan kesejahteraan rakyat serta kemajuan Sarawak harus didahulukan mengatasi apa-apa jua sentimen dan emosi.
“Dalam konteks ini melalui kenyataan yang dibuat oleh Karim sendiri, dilihat sebagai sifat terpuji seorang pemimpin yang berjiwa besar. Menerima kekalahan dengan hati yang terbuka atas semangat taat setia yang mantap dalam parti.
“Dalam dunia politik, kekalahan bukanlah penyudah atau titik noktah yang berkekalan. Kemunculan semula untuk meraih kemenangan dalam pemilihan akan datang bukanlah sesuatu yang mustahil dan ia boleh berlaku,” ujarnya.






