BAITULMAQDIS: Bunyi letupan kedengaran di dalam dan sekitar ibu negara Iran, Tehran, di tengah-tengah laporan media Israel bahawa rejim Israel sedang melancarkan serangan ke atas sasaran Iran, menurut laporan Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).
Bunyi letupan itu didengar pada awal pagi dengan gambar dan rakaman yang belum disahkan mula muncul di media sosial yang menunjukkan kepulan asap di langit Tehran.
Sumber bunyi letupan itu bagaimanapun masih belum jelas.
Akhbar The Times of Israel memetik Menteri Hal Ehwal Ketenteraan Israel, Israel Katz, sebagai berkata bahawa rejim itu sedang melancarkan serangan ke atas Iran.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, ketika laporan dari media Amerima Syarikat (AS) dan Israel menyebut mengenai serangan yang bakal berlaku ke atas Iran, pegawai Iran memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan ke atas wilayah Iran akan membawa akibat yang amat dahsyat.
Sementara itu, Israel mengisytiharkan darurat pada Jumaat susulan amaran kemungkinan tindakan balas dari Tehran selepas negara itu melancarkan ‘serangan awal’ ke atas Iran.
“Susulan serangan awal Israel terhadap Iran, satu serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel dan penduduk awam dijangka berlaku dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, dan berdasarkan kuasa di bawah Undang-Undang Pertahanan Awam, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, telah menandatangani perintah khas yang menguatkuasakan perintah darurat khas di seluruh kawasan awam di seluruh negara,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Israel.
Iran pula meningkatkan kesediaan pertahanan udaranya kepada 100 peratus dan menggantung semua penerbangan dari Lapangan Terbang Imam Khomenei.
Sementara itu, pegawai AS mengeluarkan kenyataan menegaskan negara itu tidak terbabit dalam serangan yang dilancarkan Israel terhadap Iran.
Semalam, Presiden AS, Donald Trump, memberi amaran bahawa Israel mungkin akan menyerang tapak nuklear Iran tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau menggesa sekutu utamanya itu menangguhkan rancangan itu selari dengan komitmennya terhadap penyelesaian diplomatik.
Sejak dua hari lalu ketegangan di rantau itu meningkat dengan Trump memberi amaran mengenai ‘konflik besar-besaran’, dengan Tehran berikrar untuk meningkatkan pengeluaran uranium yang diperkaya.
Ia adalah titik kontroversi penting dalam perbincangan dengan Washington selepas dikecam badan pemerhati atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Trump berkata, beliau percaya perjanjian ‘agak baik’ mengenai program nuklear Iran kian hampir, namun serangan Israel ke atas musuh ketatnya boleh memusnahkan peluang menzahirkannya.
Pemimpin AS itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran perbualannya pada Isnin dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, namun beliau berkata: “Saya tidak mahu mereka masuk (lancar serangan) kerana saya fikir ia akan membuatkan keadaan lebih teruk”.
Axios melaporkan bahawa Trump berkata, AS tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang serangan.
Trump dalam hantaran di media sosial memberi gambaran mahu ketegangan dikurangkan, sambil menegaskan bahawa Iran mesti berhenti daripada membangunkan senjata nuklear.
“Kami tetap komited kepada Resolusi Diplomatik membabitkan isu nuklear Iran! Seluruh pentadbiran saya diarahkan untuk berunding dengan Iran,” katanya menerusi rangkaian Truth Social.
Wakil Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff bersedia untuk mengadakan rundingan pusingan keenam dengan Iran pada Ahad di Oman.
Setakat ini, Oman menjadi pengantara ke arah menzahirkan perjanjian nuklear dengan Iran. — Bernama


