KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis syabu.
Krister, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama kerana memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya.
Dia didapati positif dadah semasa ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sekitar jam 2.30 petang, 9 Oktober lepas.
Sabit kesalahan membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Mahkamah memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, pihak polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Hasil saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.
Kemudian, laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak turut mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly memohon agar hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran dan demi kepentingan awam.



