ARTIKEL

Gambar Hiasan

Tertembak rakan sendiri ketika berburu babi hutan, pemandu lori mengaku salah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tertembak rakan tanpa sengaja ketika berburu babi hutan di Kampung Sungai Beradek hingga menyebabkan kematian, lelaki dipenjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Roy Panyie, 38, dari Kampung Melaban, Samarahan mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa sengaja mangsa lelaki berusia 44 tahun.

Dia didakwa tidak sengaja tertembak mangsa menggunakan selaras senapang patah ketika berburu dalam sebuah hutan di Kampung Sungai Beradek, sekitar jam 9 pagi, 27 April lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Syarifah Fatimah menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM3,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda bagi pertuduhan pertama.

Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki selaras senapang patah tanpa lesen yang sah.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara dua minggu.

Berdasarkan fakta kes, pada 26 April lepas, sekitar jam 4.30 petang, tertuduh dan mangsa keluar bermalam berburu babi hutan.

Pada 27 April, sekitar jam 9 pagi, semasa mereka sedang menjejak babi hutan, mangsa meminta tertuduh untuk memegang senapang patah miliknya.

Namun, malang tidak berbau, ketika tertuduh memegang senjata itu tertekan pemicu senapang lalu terkena mangsa.

Mangsa yang menjerit dengan berlumuran darah lalu rebah ke tanah dalam keadaan tercungap-cungap selama lima minit sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Tertuduh dalam keadaan panik cuba mendapatkan bantuan dengan menghubungi orang lain.

Laporan polis dilakukan dan mayat mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan, berdasarkan laporan patologi mengesahkan luka di dada akibat tembakan dalam kejadian tersebut.

Selain itu, senjata yang digunakan tertuduh turut dirampas dan laporan mengesahkan bahawa senapang berkenaan tidak berlesen.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Ammarsoffi Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU