Teruskan projek yang dibatal PH

SERIAN: Projek naik taraf Jalan Padawan Fasa Satu dijangka siap sepenuhnya pada September 2022 dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, walaupun projek berkenaan telah dimulakan Disember tahun lalu.

Menurut Abang Johari, projek yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya itu membuktikan Kerajaan Sarawak kini efisien dalam melaksanakan projek seperti dijanjikan.

“Sebenarnya projek ini dilaksanakan menggunakan dana Kerajaan Persekutuan, namun apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada waktu itu, ia dibatalkan. Selama 22 bulan projek ini jadi sia-sia.

“Justeru, apabila Datuk Roland Sagah dan Datuk Seri Micheal Manyin memaklumkan perkara ini, saya berhasrat untuk membangunkan sendiri Jalan Padawan ini,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Jalan Padawan Fasa 1 di Dewan Serbaguna Tapah di sini, kelmarin.

Jelasnya, peruntukan projek naik taraf Jalan Padawan sepanjang 30 kilometer itu ditambah untuk fasa kedua seperti jumlah kos yang dimaklumkan oleh JKR sebelum ini.

“Difahamkan keadaan jalan ini bengkok dan tidak rata. Ia perlu dinaik taraf serta diperbesarkan supaya lebih selamat digunakan. “Saya kotakan janji kepada rakyat. Apatah lagi ia melibatkan pembangunan di Serian,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi menjelaskan, projek fasa pertama melibatkan naik taraf semula jalan sepanjang 15 kilometer dengan peruntukan RM34.9 juta.

“Secara keseluruhannya kos untuk projek ini juga melibatkan bajet lain seperti pemindahan infrastruktur utiliti di sepanjang jalan ini.

“Jadi ia boleh mencecah sehingga RM55 juta untuk peruntukan keseluruhannya,” katanya.

Beliau bersetuju dengan permohonan Roland Sagah sebelum ini yang memerlukan kos tambahan. Selain itu, penduduk dinasihatkan untuk terus memberikan kerjasama kepada kontraktor melaksanakan projek berkenaan.

“Apabila tergendala, usaha menaik taraf jalan ini sejak beberapa tahun lalu. “Kerajaan Sarawak menjadi penyelamat dan benar-benar mengambil perhatian dengan memahami penderitaan penduduk tempatan,” jelasnya.

Beliau turut yakin luar bandar terus membangun apabila projek fasa pertama siap. “Jadi terus sokong GPS serta bersama-sama menjaga hak Sarawak demi kebaikan bersama,” katanya.

Suara Sarawak