BANGKOK: Thailand menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama dengan Kemboja melalui Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) bagi memelihara keamanan serta kestabilan di sepanjang sempadan bersama.
Timbalan Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Parach Rattanachiayaphan berkata, Thailand kekal berpegang kepada penyelesaian secara dialog aman dengan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa.
“Tentera Laut Diraja Thailand bersedia bekerjasama dengan Kemboja di bawah kerangka RBC dan GBC dengan matlamat memperkukuh keamanan, kestabilan dan kerjasama di sempadan Thailand-Kemboja,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat RBC Thailand-Kemboja di wilayah Trat, pada Jumaat.
Delegasi Thailand diketuai Komander Pertahanan Sempadan Chanthaburi dan Trat, Laksamana Madya Apichat Sapprasert manakala Kemboja diketuai Komander Wilayah Ketenteraan Ketiga, Mejar Jeneral Ouy Heang.
Parach berkata, perbincangan menekankan komitmen Thailand untuk menyelesaikan isu secara aman mengikut prinsip antarabangsa, termasuk cadangan pembersihan periuk api dan usaha membanteras penipuan dalam talian.
“Walaupun Kemboja belum memberikan maklum balas konkrit terhadap cadangan ini, Thailand berharap negara itu akan menunjukkan keprihatinan dalam mesyuarat akan datang, khususnya dalam menyokong operasi pembersihan periuk api di sempadan serta tindakan bersama membanteras penipuan,” katanya.
Mesyuarat itu turut menyaksikan penandatanganan Minit Mesyuarat Luar Biasa RBC antara Komando Pertahanan Sempadan Chanthaburi dan Trat dengan Wilayah Ketenteraan 3 Kemboja.
Thailand dan Kemboja juga berikrar melaksanakan hasil Mesyuarat Luar Biasa GBC yang diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu.—BERNAMA



