MUKAH: The Choristers of Sts. Peter & Paul’s Church, Mukah berjaya bergelar juara One Voice Musical Festival 2026 yang berlangsung di Sibu Diocesan Pastoral Centre, Kemuyang, baru-baru ini.
Kumpulan koir itu membariskan 34 ahli terdiri daripada penyanyi dan pemain alat muzik, dengan mempersembahkan karya asal bertajuk ‘Iman Bergema Dalam Api Kristus’.
Lagu ciptaan Ryan Fredrick bersama-sama penulis lirik Corina Raymund dan Vanessa Mill Raislar itu mengangkat mesej yang sarat dengan mesej rohani.
Persembahan The Choristers turut menggunakan pencahayaan minimum apabila dewan dibiarkan gelap dan hanya diterangi lilin yang dipegang setiap ahli koir.
Penggunaan lilin itu menjadi simbol sinar harapan dan iman, selaras dengan mesej yang disampaikan menerusi lagu berkenaan.
Persembahan itu disambut tepukan gemuruh daripada hadirin sebaik sahaja selesai dipersembahkan.
Dalam pada itu, One Voice Musical Festival 2026 bertemakan ‘Echoes of Faith’ menghimpunkan penyertaan tujuh parokhi di bawah Keuskupan Sibu, iaitu Dalat, Mukah, Sibu Jaya, Kanowit, Sarikei, Kapit dan Sacred Heart Cathedral.
Festival tahunan itu menjadi platform kepada kumpulan koir dari setiap parokhi untuk mempersembahkan bakat, selain mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti gereja.
Kejayaan itu turut menjadi pencapaian penting buat The Choristers of Sts. Peter & Paul’s Church, Mukah dalam usaha mempertahankan kecemerlangan mereka pada pertandingan berkenaan.



