ARTIKEL

BERCAKAP… Pengarah Pemasaran The Tapang Club, Darren Wee, menjawab soalan pihak media. Foto Alverdtekoster Anyap

The Tapang Club perkenal konsep kelab integrasi pertama seumpamanya di Asia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bermula daripada idea membangunkan sebuah gelanggang badminton berkualiti, The Tapang Club kini berkembang menjadi sebuah kelab integrasi persendirian yang pertama seumpamanya di Asia dengan menggabungkan elemen sukan, pertanian, kediaman serta gaya hidup sihat.

Pengarah Pemasaran The Tapang Club, Darren Wee berkata, konsep unik berkenaan tercetus selepas pihaknya melihat terdapat jurang dalam pasaran kelab persendirian apabila kebanyakan fasiliti seumpamanya di dunia tidak menggabungkan kemudahan ladang dan kediaman.

Beliau berkata, hasil kajian dan pembangunan model perniagaan mendapati gabungan elemen berkenaan mampu menawarkan pengalaman berbeza kepada ahli kelab.
“Apabila kami membuat kajian dan membangunkan model perniagaan, kami mendapati terdapat ruang untuk konsep seperti ini. Sebab itu kami menamakan The Tapang Club sebagai kelab integrasi persendirian pertama di Asia.

“Dua perkara utama yang membezakan kami ialah kewujudan ladang di kawasan kelab ini serta kemudahan kediaman untuk ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran The Tapang Club di Kampung Keranji, di sini, hari ini.

Menurut Darren, idea awal pembangunan The Tapang Club bermula apabila sekumpulan individu yang meminati badminton menyedari terdapat beberapa kekurangan pada gelanggang sedia ada, termasuk aspek permukaan lantai, pencahayaan serta keselesaan pengguna.

Katanya, perkara itu mendorong pengasas projek berkenaan, Raymond Tay, mencadangkan supaya mereka membangunkan gelanggang sendiri yang kemudiannya berkembang menjadi satu peluang perniagaan.

“Daripada sebuah gelanggang badminton, idea itu terus berkembang dan berubah sehingga akhirnya menjadi apa yang kita lihat hari ini.

“Dalam proses pembangunan itu juga, ramai rakan kerjasama tampil dengan idea masing-masing apabila melihat potensi kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, konsep berkenaan turut menarik minat pelbagai pihak apabila ruang yang disediakan dilihat sesuai untuk aktiviti berbeza seperti persembahan muzik, latihan seni bela diri Brazilian Jiu-Jitsu serta pelbagai sukan lain.

Mengenai pemilihan Kampung Keranji sebagai lokasi pembangunan, Darren berkata pihaknya mahu membawa masyarakat keluar dari kesibukan bandar untuk menikmati suasana semula jadi yang lebih tenang.

Katanya, lokasi tersebut memberi peluang kepada pengunjung untuk memperlahankan rentak kehidupan harian selain memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan dan pemulihan diri menerusi kemudahan kediaman yang bakal dibangunkan.

“Kami mahu orang ramai keluar daripada kesibukan bandar dan menikmati alam semula jadi di Keranji. Di bandar, suasananya lebih kepada kehidupan bandar, tetapi di sini kami mahu mereka berehat dan memberi perhatian kepada kesejahteraan diri.

“Sebab itu kami turut menyediakan kemudahan kediaman kerana ia berkait dengan konsep pemulihan dan gaya hidup sihat,” katanya.

Darren berkata, buat masa ini The Tapang Club beroperasi sebagai kelab persendirian dengan akses utama diberikan kepada ahli serta tetamu yang dibawa oleh ahli.

Menurutnya, ahli boleh membawa tetamu untuk menyertai aktiviti tertentu seperti pickleball dan badminton, manakala beberapa kemudahan lain dikhususkan untuk kegunaan ahli.

Beliau berkata, pembangunan The Tapang Club kini memasuki Fasa 1, manakala perancangan Fasa 2 akan melibatkan pembangunan lebih banyak kemudahan penginapan, termasuk kediaman, chalet dan glamping.

Katanya, pengembangan tersebut selaras dengan hasrat menjadikan The Tapang Club sebagai lokasi penganjuran pertandingan sukan peringkat serantau dan antarabangsa.

“Kita mahu menganjurkan pertandingan antara kelab, contohnya pertandingan antara kelab dari Sarawak dengan kelab lain termasuk dari luar negara. Dengan kemudahan penginapan tambahan pada masa depan, kita boleh menjadi tuan rumah acara serantau dan antarabangsa,” katanya.

The Tapang Club kini dibangunkan di kawasan seluas 12 ekar daripada keseluruhan 34 ekar kawasan projek, dengan baki 22 ekar akan dibangunkan menerusi fasa seterusnya.
Ia merangkumi rumah kelab, dewan pelbagai guna, kediaman, dewan sukan, gelanggang pickleball, kolam renang, pentas terbuka, kawasan glamping dan rumah hijau.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah