Tiada acara sabong ayam di sambutan Gawai Dayak Kebangsaan 2019

BINTULU: Ketua Publisiti penganjur sambutan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan 2019, Johnny Chuat menafikan terdapat acara perjudian sabong ayam sebelum dan semasa berlangsungnya program terbabit pada 17 hingga 19 Mei kelak.

“Ada segelintir pihak mendakwa akan diadakan aktiviti sabung ayam di beberapa buah tempat sebelum dan semasa berlangsungnya sambutan perayaan Gawai Dayak peringkat kebangsaan nanti”.

Beliau, bagaimana pun, berkata, acara ‘sabong ayam’ hanya akan diadakan pada pagi 19 Mei di rumah panjang, Henri Nuni Anak Plen di Sungai Gelam, Ulu Sebauh yang bertujuan mendemonstrasikan adat tradisional kaum Dayak khususnya Iban untuk rakaman dokumentari televisyen dan bukan acara judi sabung ayam untuk pengunjung.

Demonstrasi ‘sabong ayam’ berkenaan adalah untuk menunjukkan salah satu daripada budaya serta adat resam kaum Iban zaman dahulu dan sama sekali bukannya satu aktiviti perjudian seperti yang ditular oleh segelintir pihak terbabit di beberapa laman media sosial, jelasnya.

“Semasa demonstrasi sabong ayam itu nanti, para peserta akan memakai pakaian tradisional kaum Iban yang lengkap.

Malah, pengunjung juga disarankan untuk memakai pakaian tradisional masing-masing supaya kelihatan seperti suasana sebenar aktiviti laga ayam pada zaman dahulu, tambahnya lagi.

Perayaan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan 2019 di Bintulu merupakan anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama beberapa badan Pertubuhan Kebajikan Dayak di negeri ini. (Civil Dayak Societies).

Acara sambutan akan dimulai dengan aktiviti Pasar Gawai Dayak di Sungai Plan, Bintulu pada 13 hingga 17 Mei, dibuka untuk orang ramai dari jam 10 pagi hingga 11 malam.

Program penyambutan tetamu atau ‘Malam Mantar Gawai’ akan diadakan di sebuah restoran pada malam 17 Mei dan akan disertai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedioa, Gobind Singh Deo.

“Acara kemuncak Perayaan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan ialah ‘Ngerandang Jalai Gawai’ (Perarakan Gawai Dayak) yang akan berlangsung di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada awal pagi 18 Mei.

Kami menyasarkan penyertaan lebih daripada 2000 orang daripada segenap lapisan masyarakat Dayak di Sarawak dan beberapa suku kaum Dayak daripada Kalimantan Barat, Indonesia.”

“Saya menyeru agar lebih ramai persatuan-persatuan atau individu tampil untuk mendaftar untuk menyertai perarakan ini bagi memeriahkan lagi suasana Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan yang julung kalinya ini.”

Selepas tamatnya ‘Ngerandang Jalai Gawai’ pada sebelah petang 18 Mei, para tetamu dipelawa untuk ‘ngabang’ atau berkunjung gawai dengan suasana rumah panjang di rumah panjang, Henri Nuni Anak Plen di Sungai Gelam, Ulu Sebauh.

Manakala, pada sebelah pagi 19 Mei pula akan diadakan upacara ‘Sandau Hari’ yang diikuti dengan aktiviti demonstrasi laga ayam.

Acara penutupan pula akan diadakan pada sebelah malam, 19 Mei di mana tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Para tetamu akan dihiburkan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan pelbagai etnik Dayak, termasuk persembahan daripada beberapa suku etnik Dayak daripada Kalimantan Barat, Indonesia.