Tiada aduan jual lebih harga sempena perayaan di Sarawak

KUCHING: Setakat semalam terdapat 55 kes direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daripada 8,504 pemeriksaan premis jualan di seluruh negara melalui Skim Harga Maksimum bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina 2020.

Namun, menurut Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Muez Abd Aziz tidak ada lagi aduan diterima di Sarawak.

“Belum ada lagi aduan diterima di Sarawak cuma kalau di seluruh Malaysia hanya dua aduan sahaja diterima daripada 55 kes direkodkan.

“Kebanyakkan kes yang direkodkan adalah bukan kerana mereka menjual melebihi harga maksimum yang kita tetapkan, tetapi lebih kepada tidak mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pemeriksaan Perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di Aeon Mall Kuching di sini, tadi.

Tegasnya, tidak mempamerkan harga barangan merupakan salah satu kesalahan dibawah satu perintah kawalan harga khusus untuk Penandaan Harga Runcit 1993 bukan sahaja pada musim perayaan tetapi sepanjang tahun.

Beliau turut memberitahu Johor merekodkan kes paling banyak iaitu 21 kes diikuti oleh Kedah sebanyak lapan kes.

“Secara kesimpulannya, setakat ini, kita dapati para peniaga mematuhi dan memahami peraturan yang dijalankan oleh kerajaan,” ujarnya.

Turut hadir Pengarah KPDNHEP Datuk Stanley Tan dan Pengurus Stor Aeon Mall Kuching Derick Dingus.

Suara Sarawak