ARTIKEL

Tiada maklumat mengenai pembukaan Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Tiada maklumat mengenai pembukaan  Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada 8 Ramadan (esok) seperti yang tular di media sosial, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata beliau telah berhubung dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan bagi mendapatkan maklumat mengenai hal berkenaan.

“Saya telah berhubung dengan Duta Arab Saudi pada tengah hari tadi dan bertanyakan hal ini maka jawapan yang diberikan kepada saya, beliau sendiri tidak ada maklumat dan memaklumkan apa yang berlaku setakat ini berdasarkan kepada arahan terdahulu iaitu tiada pembukaan.

“Beliau turut memaklumkan di Makkah dan Madinah masih lagi lockdown dan yang dibenarkan hanya pekerja-pekerja sahaja dan mereka yang terhad termasuk imam atau yang betugas di masjid itu,” katanya dalam program temu bual eksklusif ‘Ramadan Kali Ini’ terbitan Bernama Radio, hari ini.

Tular di media sosial hari ini mengenai satu kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang kononnya mengumumkan pembukaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada 8 Ramadan, berserta garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Terkesan dengan wabak COVID-19, Arab Saudi pada akhir Februari memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah.

Sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19, pada pertengahan Mac, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk  ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

Sementara itu, Zulkifli berkata keputusan membuka semula masjid dan surau bagi aktiviti ibadah termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah bergantung kepada kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata pihaknya sedang berbincang dan merangka garis panduan bagi membolehkan solat jemaah dilakukan.

“Ia perlu diperhalusi satu persatu, bagaimanapun ia amat bergantung kepada KKM. Justeru, apa-apa keputusan berdasarkan kepada pendapat serta pandangan KKM sewajarnya menjadi pedoman. Ia akan dibincang dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Pada 13 Mac, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan berjemaah sehingga selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengenai garis panduan Hari Raya Aidilfitri sekiranya PKP dilanjutkan sehingga ketika umat Islam menyambutnya, Zulkifli berkata perkara itu juga sedang dibincangkan dan kaedah pelaksanaannya akan dimaklumkan secara rasmi nanti.

Mengenai pembayaran zakat fitrah, Zulkifli berkata amil (pengutip zakat) dibenarkan bertugas seperti biasa sepanjang PKP mengikut SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan KKM.

Langkah itu, katanya adalah bagi membantu golongan pembayar yang tidak arif menggunakan internet bagi kaedah pembayaran zakat secara dalam talian.– BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

MBKS bandar pelancongan bersih ASEAN

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menerima pengiktirafan ASEAN Clean Tourist City Standard bagi tempoh 2026 hingga 2028, sekali gus mengekalkan pencapaian itu untuk kali