KUCHING: Tiada penemuan baharu oleh pasukan penyelamat setakat jam 7 petang tadi, dalam mencari empat pemancing dan seorang tekong yang hilang sejak 3 Oktober lalu.
Operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) yang memasuki hari keenam bermula jam 7 pagi tadi dengan tertumpu di 15 batu nautika dari pesisir pantai dan ke atas merangkumi kawasan perairan Besi Buruk, Tanjung Sipang, Karang Berumput, Tukun Bass dan sekitar Pulau Lakei.
Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, operasi mencari mangsa masih diteruskan oleh aset APMM, KM Sri Aman di sekitar kawasan pencarian.
Beliau berkata, pencarian hari ini melibatkan seramai 110 pasukan penyelamat serta komuniti maritim yang dibahagikan kepada empat sektor dan pencarian diperluaskan ke 483.29 batu nautika persegi.
“Pencarian di laut turut dibantu oleh aset daripada Pasukan Polis Marin (Bot PSC ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak(Bot JPLS 20), Sarawak Coast Guard (SC Tenggiri), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sebanyak lapan buah bot komuniti maritim melakukan pencarian sebelah Timur dari kawasan perairan Besi Buruk,” katanya.
Tambahnya, pencarian di udara pula di bantu oleh aset unit udara Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM) dan Unit Udara Bomba.
Lima mangsa yang belum ditemui ialah Kamizan Zaidi (tekong), Yap Tze Kang, Ng Chin Hui, Christopher Teo dan Leo Dy Lee Jiann Tarn.
