SERIAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA), Phillip Jabu memberi bayangan bahawa kemungkinan tiada penganjuran kejohanan berprestij Liga Serian pada tahun ini.
Ia berikutan kekangan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
“Kemungkinan kita (SFA) tidak dapat menganjurkan Liga Serian 2026.
“Kita tidak mempunyai padang yang sesuai ketika ini,” ujar Phillip kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Phillip, pihaknya tidak mahu berlaku pertembungan masalah andaikata Liga Serian 2026 dianjurkan pada waktu yang sama penganjuran Liga Premier Sarawak 2026.
Ia sekali gus, boleh membataskan penggunaan gelanggang atau padang pada kemudian hari kelak.
Dalam pada itu, Phillip menyatakan, penganjuran kejohanan lain seperti futsal dan sebagainya tetap diadakan.
Bagaimanapun, ia masih belum dimuktamadkan setakat ini.



