SATU cadangan yang banyak disebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepanjang perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (2025) di Dewan Undangan Negeri minggu ini iaitu menambah jumlah peruntukan untuk Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Dan rasanya, sidang kali ini bukan kali pertama ia dibangkitkan.
Pun demikian, semua pihak harus faham ia memerlukan rundingan yang panjang.
Berbalik kepada keperluan menambah peruntukan RTP, mungkin peruntukan RM5 juta setahun itu perlu dimurnikan lag
i. Jika ditanya berapakah yang cukup? Ada yang mencadangkan RM8 juta setahun untuk setiap ADUN, iaitu pertambahan RM3 juta daripada angka asal yang diberikan selama ini.
Ini kerana, mungkin mereka berasakan dengan hanya RM5 juta — nafas terasa sendat.
Maka, nilai RM5 juta tidak cukup.
Satu lagi, cadangan para wakil rakyat untuk pertambahan peruntukan agar pembangunan dapat dipercepatkan. Betul, lagi banyak sumber, lagi banyak program pembangunan dapat disusun. Lagi luas skop pembangunan dapat diimplementasikan.
Satu lagi isu kenaikan harga barang. Walaupun dilihat sebagai alasan klise, tetapi ia munasabah. Saya memetik ucapan dasripada salah seorang ADUN yang berbunyi; peruntukan projek RTP terutama di kawasan luar bandar perlu ditingkatkan.
Tujuannya, menjadi booster atau penggalak pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur di kawasan sasaran.
Ini memandangkan projek RTP menjadi instrumen yang cukup penting dalam membangunkan kawasan luar bandar secara berterusan.
Maka, ia memerlukan peruntukan lebih besar daripada RM5 juta, iaitu RM8 juta setahun.
Kalau suatu hari kelak Premier Sarawak bermurah hati menyediakan RM10 juta setahun, syukur Alhamdulillah
Katanya, diakui berlaku peningkatan drastik dalam kos pelaksanaan projek terutama bahan, upah dan sebagainya.
Dahulu projek membina jambatan kecil, gelanggang futsal, jeti, naik taraf surau dan masjid, dapat dibina pada anggaran harga RM200,000 hingga RM350,000.
Namun, kini kos itu tidak lagi relevan dan dianggarkan boleh mencapai lebih RM500,000. Mungkin ada kewajarannya, lebihlebih lagi dengan peningkatan pendapatan Sarawak.
Tahun hadapan, Belanjawan Sarawak dianggar RM15.8 bilion seperti dibentangkan oleh Premier Sarawak, Isnin lalu.
Belanjawan berkenaan yang terbesar dalam sejarah negeri akan terus menyediakan peruntukan kepada sektor-sektor utama.
Fokus kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan akhirnya menjadikan ekonomi Sarawak lebih makmur, kukuh dan berdaya tahan.
Untuk rekod, perbelanjaan RM15.8 bilion, ialah pertambahan 16 peratus daripada RM13.6 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri pada 2024.
Sehubungan itu, Belanjawan Sarawak 2025 akan terus menjadi belanjawan pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Belanjawan bertemakan “Bersama Membina Masa Depan Yang Sejahtera” Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10.9 bilion untuk tujuan pembangunan, sementara RM4.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus
. Sarawak juga menjangkakan pungutan hasil sebanyak RM14.2 bilion pada tahun depan, dengan hasil cukai dan bukan cukai masing-masing berjumlah RM6.2 bilion dan RM7 bilion.
Maknanya, mungkin dua ke tiga tahun akan datang, tiada masalah untuk Sarawak mempertimbangkan pertambahan peruntukan RTP. Tidak lain tidak bukan, menjadi booster atau pemangkin pembangunan lebih cepat menuju 2030.
Sesungguhnya, terlalu banyak inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Sarawak di bawah teraju Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk rakyatnya.
Untuk tahun depan sahaja, diperkenalkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), program peningkatan isi rumah berpendapatan rendah, bantuan pendidikan, baucar buku dan komputer riba, untuk pelajar universiti dan sebagainya.
Tiada rakyat akan ketinggalan di bawah bajet yang merentasi lapan teras strategik seperti mentransformasi dan mempelbagaikan ekonomi Sarawak, meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan utama serta mempromosikan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk memantapkan bakat dan pendidikan pembangunan.
Selain itu, mempercepatkan transformasi digital dan inovasi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan inklusif, mempromosikan kebudayaan, sukan dan pemerkasaan belia, meningkatkan kelestarian alam sekitar serta memantapkan penyampaian perkhidmatan awam dan kapasiti.
Orang Sarawak wajar berterima kasih kepada Kerajaan GPS yang mampu mengurus Bumi Kenyalang sehingga berada ke tahap ini, yang diakui oleh banyak dunia luar.



