KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak akan merombak kabinet susulan kekalahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam pertandingan jawatan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sayap Bumiputera sempena Perhimpunan Agung Ke-16 PBB.
“Tidak, itu prerogatif saya sebagai Premier…tiada apa-apa yang perlu dirombak semula, ia (kabinet) akan kekal seperti biasa,” katanya ketika ditemu bual selepas menyempurnakan penangguhan Perhimpunan Agung Ke-16 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, Abdul Karim yang merupakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan jika Abang Johari perlu membuat rombakan kabinet susulan kekalahannya itu.
Turut tewas dalam pertadingan enam penjuru bagi merebut empat jawatan Naib Presiden PBB Sayap Bumiputera itu ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Karim memperoleh 669 undi manakala Abdul Rahman mendapat 546 undi.
Empat jawatan itu kini diisi oleh Datuk Ibrahim Baki (910 undi), Datuk Seri Julaihi Narawi (900 undi), Datuk Dr. Annuar Rapaie (788 undi) dan Datuk Len Talif Salleh (687 undi).
Justeru, Abang Johari yang juga Presiden PBB dalam ucapan penggulungannya turut menegaskan bahawa tidak kira yang menang mahupun kalah harus kekal bergabung menjadi satu pasukan untuk berjuang dalam PBB.





