ARTIKEL

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Juanda Jaya ketika membentangkan usul untuk melantik Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman Sarawak pada persidangan DUN Sarawak, hari ini. - Gambar Ghazali Bujang

Tiada Syarat Lantik ADUN Pembangkang Dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelantikan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini tidak menetapkan keperluan untuk melantik ADUN daripada blok pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Juanda Jaya yang membentangkan usul untuk melantik Jawatankuasa Pilihan Khas itu berkata, Ordinan Ombudsman Sarawak, 2023 tidak memperuntukkan keperluan untuk memasukkan wakil pembangkang dalam keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan.

“Kenapa DAP tidak masuk, ordinan kita tidak meletakkan perlu ada pembangkang. Kalau ordinan ada menyatakan sedemikian, memang pasti kita akan letakkan,” katanya pada sidang media sejurus selepas Jawatankuasa Pilihan Khas diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen yang mempersoalkan keahlian jawatankuasa itu tidak melantik salah seorang daripada mereka.

Menurut Chong yang juga ADUN Padungan ketika membahaskan usul untuk melantik Jawatankuasa Pilihan Khas itu, keahlian jawatankuasa itu setidak-tidaknya menyenaraikan salah seorang daripada mereka supaya ia lebih terbuka.

“Dalam dewan ini, hanya kami berdua (Chong dan ADUN Pending, Violet Yong)…kenapa tidak biar seorang daripada kami dilantik,” soalnya yang kemudian tidak menyokong usul itu.

Bagaimanapun, Juanda berkata jawatankuasa itu turut dibarisi seorang ahli bebas iaitu ADUN Batu Lintang, See Chee How.

“Pelantikannya dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 74 yang menetapkan jumlah minimum ahli dan seorang daripada ahli yang dilantik ialah ahli bebas iaitu ADUN Batu Lintang.

“Kalau kita lihat latar belakangnya, beliau seorang pejuang kepada isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR)…kalau kita tidak terbuka, kenapa kita bawa beliau masuk. Sebab kita tahu antara isu yang besar di peringkat masyarakat adalah berkaitan hal tanah itu dan kerajaan memang ambil berat tentangnya.

“Sebab itu, kita pastikan komposisi jawatankuasa ini ialah ahli-ahli yang mempunyai kelayakan tinggi dan mampu untuk memastikan Ombudsman Sarawak berjaya melangkah jauh,” katanya.

Terdahulu, Juanda ketika membentangkan usul untuk melantik Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan berkata ia dipengerusikan oleh ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, dengan ahli-ahli terdiri daripada ADUN Batu Lintang See Chee How, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Ngemah Anyi Jana dan ADUN Tellian Royston Valentine.

Menjelas lanjut, beliau berkata Dayang Noorazah merupakan seorang akauntan profesional mengikut latihan dan juga ADUN termuda yang menyerlah melalui komitmen kebajikan masyarakat.

Manakala, katanya Chee How membawa bersama pengalaman sebagai pengamal undang-undang kanan yang berkhidmat di kawasannya sejak 2011.

Beliau menambah Wilfred Yap juga seorang peguam dengan pengalaman melebihi 30 tahun dan dikenali dengan dedikasinya dalam pembangunan akar umbi, perancangan bandar dan penyampaian perkhidmatan.

Sementara itu, Simon merupakan doktor veterinar pertama di Sarawak yang dipilih sebagai ADUN, Anyi ialah bekas pendidik dan pentadbir yang berwibawa serta menumpukan sebahagian besar kerjayanya kepada pembangunan pendidikan di Sarawak dan Royston merupakan penyokong kuat aktivisme belia dan mewakili suara generasi muda.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU