KUCHING: Dendam kesumat seorang lelaki tempatan dengan rakannya warga Indonesia yang tidak membayar hutang menyebabkan dia tergamak membakar sebuah kenderaan negara asing milik lelaki warga asing yang lain membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun satu sebat oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh Oliver Reno, 44, dari Matang mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kerosakan harta dengan membakar sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza milik lelaki warga Indonesia hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM50,000.
Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa dua unit senjata berbahaya iaitu parang panjang dan tukul besi tanpa kebenaran yang sah.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukannya di hadapan sebuah farmasi di Batu Kawa, kira-kira jam 9.15 malam, 10 Mei lalu.
Mohd Taufik menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun untuk pertuduhan pertama dan penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu berusia 38 tahun dari Sambas, Indonesia meletakkan keretanya di hadapan sebuah farmasi sebelum pergi ke kedai dobi layan diri 24 jam untuk mencuci pakaian.
Setelah selesai mencuci pakaian, dia mendapati kenderaannya sedang terbakar dan mendapat maklumat daripada orang awam bahawa seorang lelaki tidak dikenali membakar keretanya.
Dengan bantuan orang awam kebakaran berjaya dikawal tetapi kerosakan pada kereta pengadu sekitar 80 peratus. Laporan polis kemudian dibuat untuk tindakan lanjut.
Semasa kejadian, tertuduh cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh seorang anggota polis yang kebetulan melalui kawasan berkenaan selain dibantu orang awam yang berada di lokasi.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melakukan khianat dengan membakar kenderaan negara asing milik pengadu dan membawa senjata untuk menyerang selain berniat untuk membakar mana-mana kereta dari Indonesia yang berada di kawasan terbabit.
Punca kejadian kerana untuk memberi amaran kepada rakannya yang juga warga Indonesia yang telah berhutang dengannya.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





