Tidak boleh jual!

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting Ing Horh menegaskan sekali lagi bahawa peniaga tidak dibenarkan menjual makanan dan minuman pada bulan Ramadan dengan mendirikan gerai sama ada di pekarangan rumah atau di kaki lima di sebelah rumah.

Katanya, mereka hanya dibenarkan menjual makanan dari rumah mereka untuk bawa pulang sahaja atau melalui platform Bazaar Ramadan Online Sarawakku Sayang (BROSS).

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak pergi ke rumah peniaga berkenaan untuk membeli makanan atau minuman.

“Pesan apa yang anda mahukan melalui platform perkhidmatan penghantaran. Elakkan daripada berkumpul,” tambahnya.

Ting bercakap kepada pemberita sebelum membuat pemeriksaan mengejut di gerai tepi jalan Kampung Datu dan Jalan Masjid di sini semalam.

Turut menyertainya ialah Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Michael Tiang.

Semasa pemeriksaan mengejut itu, Ting memberitahu banyak peniaga tidak menyedari bahawa mereka tidak dibenarkan mendirikan gerai di tepi jalan.

“Oleh itu, bersama-sama dengan polis, MPS serta pegawai penguat kuasa kami akan terus memantau keadaan ini dalam beberapa hari lagi untuk memberitahu peniaga supaya tidak berniaga di kawasan larangan tersebut,” jelasnya lagi.

Jelasnya, buat masa ini pihaknya hanya menasihatkan penjaja berkenaan supaya menghentikan operasi mereka serta-merta.

“Pihak berkuasa akan menasihatkan mereka untuk tidak berbuat demikian kerana masih mengkaji apakah peraturan atau undang undang yang diguna pakai sekiranya ada yang degil kelak.

“Kebanyakan penjaja hari ini, faham dan mematuhi apa yang kita nasihatkan kepada mereka.

Namun, saya akan arahkan penguat kuasa MPS akan terus memantau,” tegasnya lagi.

Isu jualan Ramadan timbul ketika orang ramai mengerumuni gerai-gerai di Kampung Datu pada petang Jumaat lalu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ting mengatakan bahawa bukan sahaja kesesakan itu menjadi masalah, tetapi yang lebih membimbangkan adalah penyebaran rantai jangkitan Covid-19.

Beliau mengatakan bahawa kerajaan dan polis telah bekerja keras untuk membantu membendung penyebaran Covid-19 dan kini tanggungjawabnya untuk rakyat memainkan peranan mereka dalam membendung penyebaran.

“Sibu kini dikategorikan sebagai zon hijau dan marilah kita semua berdoa agar tempat kita selamat.

Sekiranya penduduk bergaul akan ada banyak interaksi sosial.

“Jadi ada kebimbangan bahawa Sibu akan bertukar zon jingga atau merah jika tidak dikawal. Saya percaya semua orang di Sibu tidak mahu ia berlaku seperti itu,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Stanley dalam ucapannya juga menasihatkan peniaga untuk berhenti mendirikan gerai di tepi jalan.

Beliau menegaskan kerajaan tidak membenarkannya kerana ia akan menimbulkan banyak pendedahan kontak dengan orang yang tidak dikenali.

Suara Sarawak