Tidak percaya… sila seluk poket YB!

SPAOH: Kalau masih ada pihak yang mengatakan peruntukan RM5 juta setahun untuk pelaksanaan projek RTP bawah Kerajaan Sarawak masuk ke poket peribadi, sila siasat dan seluk poket YB.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, ia tuduhan rambang yang tidak berasas sama sekali.

Mengakui ada pihak mempertikaikan dana RTP berkenaan Razi menjelaskan, mereka sengaja memutarbelitkan fakta supaya dapat mempengaruhi rakyat dengan sesuatu yang salah.

“Itu sahaja sebabnya! Seperti mana diketahui, RTP berjaya memberi impak besar kepada pembangunan luar bandar.
“Nilainya betul RM5 juta, tetapi peruntukan tersebut bukan dipegang Adun… dan ia digunakan untuk membangunkan projek kecil di kampung dan rumah panjang.

“Justeru, tiada istilah peruntukan itu masuk ke poket YB kerana ia hanya untuk mempengaruhi fikiran rakyat,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Bungin dekat Dewan Pahlawan Tujuh, semalam.

Menurut Razi, inisiatif diilhamkan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dilihat begitu signifikan terutama dalam mengubah lanskap pembangunan luar bandar.

“Kerana usaha Tok Nan, Sarawak menjadi satu-satunya negeri dalam Malaysia yang melaksanakan pembangunan luar bandar melalui RTP.

“Sekali gus merancakkan usaha membangunkan seluruh Bumi Kenyalang tercinta. Saya fikir, rakyat sepatutnya berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.

Jelasnya lagi, pada era kepimpinan Kerajaan GPS inisiatif tersebut masih diteruskan… demi memastikan jurang pembangunan kawasan bandar dan luar bandar rapat,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengharapkan kontraktor diberikan amanah untuk menyiapkan projek RTP diharap lebih jujur dengan mengutamakan kepuasan rakyat kerana sesuatu projek tersebut dibangunkan untuk keperluan rakyat.

Suara Sarawak