Tidak perlu panik, beri kerjasama

GELOMBANG kedua Covid-19 memberi tamparan hebat.

Kini, gelombang kedua memberi debaran buat rakyat Sarawak apabila banyak peraturan baharu yang perlu dipatuhi. Pengumuman zon merah bagi Bahagian Kuching oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini, menyebabkan masyarakat tidak senang duduk.

Kes-41 dicatatkan di Kuching Sabtu lalu menjadikan bandar Kuching sebagai zon merah. Penutupan Hospital Sentosa di Kuching kepada orang awam, manakala semua kakitangan pusat perubatan dikuarantin sebagai langkah mengekang penularan wabak berkenaan.

Langkah tegas kerajaan pada 10 Jun lalu menetapkan mereka yang pulang dari luar negara dikuarantin adalah tepat pada masanya. Manakala berkuat kuasa 1 Ogos hingga 14 Ogos ini, semua warga negara Malaysia yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di hotel.

Sampel akan diambil pada hari kedua sekiranya keputusan ujian PCR Covid-19 negatif, baharulah mereka dibenarkan balik.

Selain itu, beberapa usaha telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk mengawal wabak Covid-19 daripada terus berleluasa. Antaranya, ujian rawak di beberapa pasar awam yang dikenal pasti berisiko.

Malah, orang ramai diminta tidak perlu panik serta perlu memberi kerjasama dalam ujian rawak kerana ia adalah percuma dan baik untuk diri sendiri.

Kontak rapat kes positif yang dihubungi diminta tampil membuat saringan di klinik kesihatan yang berdekatan. Adakah semua langkah ini berjaya membantu membasmi penularan Covid-19?

Apa yang penting, setiap individu harus sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan. Sekiranya memerlukan untuk keluar seperti membeli barang atau ke tempat kerja atas urusan yang tidak dapat dielakkan, pastikan menjaga jarak satu meter supaya tidak bersentuhan.

Sentiasa mengutamakan kebersihan diri seperti kerap mandi dan kerap mencuci tangan dengan betul menggunakan sabun atau menggunakan bahan pencuci tangan.

Selain itu, disinfeksi kawasan rumah juga sangat digalakkan untuk membasmi virus. Untuk rekod sehingga 18 Julai, lebih daripada 14.1 juta kes dilaporkan di lebih 188 negara dan wilayah, mengakibatkan lebih dari 602,000 kematian; lebih daripada 7.89 juta orang telah pulih.

Virus ini biasanya menular kepada seseorang dengan cara yang sama seperti influenza, melalui titisan pernafasan daripada batuk atau bersin.

Ia dianggap paling mudah berjangkit apabila seseorang mempunyai tanda gejala, walaupun penyebarannya mungkin sebelum gejala muncul.

Masa antara pendedahan dengan permulaan gejala biasanya lima hari, tetapi mungkin berkisar antara dua hingga 14 hari. Yang pasti, kita perlu berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP.

Suara Sarawak