Tidak sabar tunggu PRN-12

CAKAP-CAKAP Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) semakin kedengaran sejak akhir-akhir ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan wabak Covid-19 semakin reda.

Malah ada yang menjangka ia bakal diadakan dalam masa terdekat ini. Ada kemungkinan dan boleh diterima, mengambil kira senario politik semasa, terutama di Semenanjung. Yang pasti, tarikh sebenar masih menjadi tanda tanya walaupun tempoh penggal semasa akan tamat pada pertengahan tahun hadapan.

Oleh itu, kebanyakan pemerhati mula meramal, mencongak dan meneka sendiri tarikh tersebut. Tanpa disedari dua, tiga hingga empat cawan kopi sudah pun habis dihirup, namun persoalan tentang PRU-12 belum terungkai.

Dan keesokannya topik yang sama akan diulang oleh individu yang sama. Begitulah seterusnya sehinggalah tarikh sebenar diketahui.

Yang pasti, sehingga sekarang belum ada jawapan, sebaliknya menunggu pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Malah ramai juga yang bercakap tentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi kerajaan di negeri ini. Keupayaan dan kekuatan GPS mula dinilai.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Oleh itu, PRN-12 dijangka cukup menarik, kerana ia merupakan penampilan sulung GPS dalam menentukan hala tuju selepas ini. Namun mengambil kira senario politik sekarang ini, sama ada di peringkat Pusat mahupun Negeri, GPS mempunyai kekuatan tersendiri.

Ia hanya baharu pada nama, tetapi mempunyai kepemimpinan yang cukup berpengalaman yang diakui majoriti rakyat jelata.

Oleh itu, ramai yang meramal GPS bakal melalui laluan yang agak mudah untuk mendominasi PRU-12 nanti. Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, Profesor James Chin mengamati GPS mempunyai banyak kelebihan untuk menawan PRU-12 .

Pastinya, kenyataan sedemikian bukan dibuat hanya untuk menyedapkan hati. Selain faktor dalaman, faktor luaran juga memihak kepada GPS. Sokongan Kerajaan Persekutuan iaitu Perikatan Nasional (PN) menguatkan lagi keyakinan ini. Baru-baru ini Bersatu, Pas memberi jaminan untuk menyokong GPS pada PRN-12.

Hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak memberi keyakinan tambahan kepada rakyat, berbanding ketika Kerajaan Pusat di bawah teraju Pakatan Harapan (PH).

Rakyat Sarawak sedar bagaimana layanan PH terhadap Sarawak selama 22 bulan. Sepanjang tempoh itu, begitu banyak projek dibatalkan, dan begitu sukar untuk mendapatkan bantuan.

Tetapi ia berubah sebaik kerajaan baharu, PN mengambil alih. Fungsi dan peranan GPS tidak dikecualikan untuk turut memainkan peranan apabila diberi jawatan menteri kanan, menteri dan timbalan menteri serta pelbagai lagi termasuk duta, senator dan sebagainya.

Cuma apa yang kita harapkan ialah melalui kerjasama tersebut, hak dan kepentingan Sarawak akan terus terpelihara, dipertahan dan dikembalikan. Faktor seterusnya ialah corak kepemimpinan GPS yang berpaksikan rakyat.

Sejak Abang Johari mengambil alih jawatan Ketua Menteri, beliau menetapkan misi dan visi yang jelas untuk Sarawak. Ketika Kerajaan PH membatalkan beberapa projek pembangunan untuk Sarawak, Abang Johari tampil mengambil tanggungjawab, lebih-lebih lagi membabitkan pembangunan luar bandar. Bagi GPS, rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Berdasarkan hakikat ini, amat sukar untuk pasukan serpihan PH, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Sedar dan sebagainya untuk memenangi hati rakyat Sarawak. Lagi pula, kita sudah pun melalui pengalaman pahit 22 bulan sepanjang di bawah kuasa PH.

Kini, parti-parti yang bercadang untuk bertanding pada PRN-12 sudah mula bergerak. Janganlah kita semudah kacang lupakan kulit. Lebih molek, orang berbudi kita berbahasa. GPS dalam pada itu semakin meniti di bibir masyarakat, sedikit demi sedikit menggantikan bayangan BN.

Ini sekali gus menunjukkan GPS semakin diterima di peringkat akar umbi. Ini amat penting, kerana sokongan akar umbi bakal menentukan kemenangan pada PRN-12. Tanggungjawab kita sebagai rakyat adalah untuk memastikan Sarawak tidak terlepas kepada ‘tangan-tangan’ yang tidak pernah menyumbang kepada Sarawak.

Oleh itu, bila tarikh PRN-12 bukanlah persoalannya, sama ada tahun ini atau tahun hadapan. Yang pasti GPS wajar mendapat sokongan padu rakyat di negeri ini, demi kelangsungan pembangunan berterusan. Kita sedar apa yang telah kita lalui sepanjang wabak Covid-19, lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PK) berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Kerajaan Negeri menghulurkan pelbagai bentuk bantuan, terutama kepada golongan yang terkesan. Malah Kerajaan Pusat (PN) turut membantu, tanpa berbelah bahagi.

Ini menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Sarawak dan Pusat terhadap rakyatnya… “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Rakyat tentunya lebih arif dalam membuat penilaian terhadap seseorang pemimpin, sama ada mesra rakyat atau tidak, malah rakyat juga tahu yang mana pemimpin selalu turun padang, dan jarang turun padang, atau langsung tidak turun padang.

Suara Sarawak