HUBUNGAN cinta membabitkan anggota Girls’ Generation, Tiffany Young, dan pelakon terkenal Korea Selatan, Byun Yo Han, kini disahkan secara rasmi.
Pada 13 Disember lalu, media Korea Ilgan Sports melaporkan pasangan ini merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada musim luruh 2026.
Perkara itu kemudiannya disahkan oleh agensi Byun Yo Han, TEAMHOPE, yang memaklumkan kedua-dua selebriti tersebut sedang menjalin hubungan serius dengan niat ke arah perkahwinan, namun tarikh muktamad masih belum ditetapkan.
Menurut kenyataan agensi berkenaan, Tiffany dan Byun Yo Han berhasrat untuk memaklumkan perkembangan tersebut kepada para peminat terlebih dahulu sebaik keputusan rasmi dibuat.
TEAMHOPE turut merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan serta memohon orang ramai mendoakan kebahagiaan pasangan itu pada masa hadapan.
Tiffany Young dan Byun Yo Han sebelum ini pernah bergandingan dalam drama Disney+ berjudul Uncle Samsik yang ditayangkan pada Mei tahun lalu.



