Ibadah merupakan tuntutan Allah SWT kepada umat-Nya dan setiap daripada kita memiliki kualiti dan kuantiti yang berbeza bergantung pada kesungguhan serta ketekunan dalam diri masing-masing.
Sebagaimana firman Allah SWT: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya.
“Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)
Hal ini lebih utama apabila ibadah tersebut dilaksanakan pada Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan.
Ibadah tersebut akan dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW tentang kelebihan umrah pada Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita daripada golongan Ansar: “Apabila tiba Ramadan, maka kerjakanlah umrah kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahala mengerjakan haji.”
Dalam riwayat Muslim disebut: “Seperti mengerjakan haji bersama-sama Aku.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Melalui hadis tersebut, kita dapat mengetahui kualiti ibadah setiap daripada kita berbeza-beza ganjarannya, terutama apabila ibadah itu dilakukan pada waktu yang penuh dengan ganjaran berlipat ganda.
Namun, pada masa yang sama, ibadah juga harus dilakukan sekadar kemampuan kita kerana kuantiti ibadah mencerminkan kesungguhan seseorang.
Kita tidak mengetahui ibadah yang manakah diterima oleh Allah SWT.
DARJAT IBADAH PUASA
Darjat puasa terbahagi kepada tiga kategori sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din.
Beliau menyatakan terdapat tiga darjat puasa, iaitu puasa umum (Saum al-‘Umum), puasa khusus (Saum al-Khusus) dan puasa khusus lagi khusus (Saum Khusus al-Khusus).
Pertama ialah puasa umum, iaitu ibadah puasa yang dilakukan sekadar menahan perut daripada lapar dan dahaga serta menahan kemaluan daripada melakukan perkara yang menjadi keinginan syahwat.
Inilah bentuk puasa orang awam yang dilakukan sekadar pada aspek luaran sahaja.
Kedua ialah puasa khusus, iaitu menahan pendengaran, penglihatan, lisan, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.
Bukan sekadar menahan lapar dan hawa nafsu, bahkan kesemua anggota turut menegah diri daripada terlibat dalam perkara yang berdosa serta haram, seperti menjaga lidah daripada mengungkapkan kata-kata yang tidak mendatangkan manfaat dan berdosa.
Puasa ini merupakan puasa orang soleh.
Ketiga ialah puasa khusus lagi khusus, iaitu berpuasa dari sudut rohani dengan memelihara hati daripada kemahuan yang rendah dan pemikiran keduniaan, serta menahan hati secara menyeluruh daripada segala perkara selain Allah SWT.
Puasa sebegini merupakan ibadah yang mendidik hati seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menghindarkan diri daripada terleka dengan permainan serta perhiasan duniawi yang boleh melalaikan seseorang daripada mengingati-Nya.
Puasa ini merupakan darjat tertinggi, iaitu kedudukan puasa para nabi, siddiqin (golongan yang benar dalam beragama) dan muqarrabin (golongan yang didekatkan kepada Allah).
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Puasa itu perisai.
“Oleh itu, janganlah seseorang berkata keji dan janganlah bertingkah laku seperti orang jahil.
“Sekiranya ada seseorang mengajaknya berbalah atau mencelanya, maka hendaklah dia berkata: ‘Sesungguhnya aku berpuasa,’ sebanyak dua kali.
“Demi Dia yang jiwaku berada dalam tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah SWT daripada bau kasturi.
“Allah SWT berfirman: ‘Dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana Aku, dan Aku akan membalasnya.
“Setiap satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)



