PADAWAN: Polis menangkap tiga lelaki hari ini kerana dipercayai terbabit dalam kejadian memukul dan mengancam seorang lelaki dengan selaras senapang patah di hadapan sebuah premis di Jalan Stephen Yong, di sini pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek yang ditangkap berumur pertengahan 20 an sehingga lewat 50 an.
Katanya, tangkapan dibuat susulan satu video tular memaparkan mangsa telah dipukul sekumpulan lelaki dengan menggunakan objek seperti kayu besbol dan paip PVC di bahagian badan serta turut diancam dengan selaras senapang patah.
“Kesemua suspek telah direman di Mahkamah Kuching pada hari ini dan diperintah reman selama empat hari telah diperolehi.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederanakan dengan objek (senjata) dan juga 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau tafsiran sendiri berkenaan kes tersebut tanpa mendapat maklumat atau kenyataan sah daripada pihak polis kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.



