Tiga dram minyak diesel, lori berjaya disita kerana beli tanpa permit di Mukah

MUKAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Cawangan Mukah berjaya menyita tiga dram minyak diesel sebanyak 680 liter dan sebuah lori dalam satu operasi dijalankan baru-baru ini.

Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah Salihin Den, berkata tahanan tersebut dibuat ekoran pembelian minyak yang dilakukan tanpa sebarang permit atau surat kebenaran yang sah.

“Kita telah berjaya menahan sebuah lori bersama tiga dram diesel dianggarkan bernilai RM1,830.00 di sebuah stesen minyak di sini.

“Jika didapati bersalah, penalti akan dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala jika untuk syarikat, mereka akan didenda RM3 juta untuk kesalahan pertama,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya lagi kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sepanjang 14 hari Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020 yang berakhir 2 Januari 2020 lalu, Salihin turut memberitahu terdapat dua kesalahan telah dikenalpasti oleh pegawai KPDNKHEP dilakukan oleh para peniaga di Mukah.

“Kesalahan tersebut ialah melibatkan kegagalan peniaga meletakkan tag merah jambu ke atas dua barangan iaitu ayam standard dan bawang putih, manakala nilai rampasan adalah sebanyak RM258.50 dan nilai kompaun adalah RM350.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan, semua peniaga telah patuh kepada SHMMP dan kesalahan tersebut hanya melibatkan kes terpencil,” jelasnya.

Dalam pada itu untuk pemeriksaan terhadap harga dan bekalan topeng muka, Salihin menjelaskan peniaga-peniaga di kawasan Mukah patuh sepenuhnya dengan arahan yang telah ditetapkan dan tiada masalah kenaikan harga melibatkan topeng muka tersebut.

Suara Sarawak