KUCHING: Tiga individu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 11 Oktober lalu dengan polis merampas dadah disyaki methamphetamine dan cecair ganja yang dianggarkan bernilai RM7,310.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 1.20 tengah hari di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya, sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek dan kediamannya menemukan dadah disyaki methamphetamine seberat 5.40 gram yang dianggarkan bernilai RM590,” katanya.
“Ujian saringan awal air kencing lelaki itu didapati positif amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.
Alexson menambah, dalam serbuan kedua kira-kira jam 5 petang pada hari sama, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun di Jalan Tun Jugah.
Pemeriksaan, katanya, menemukan cecair disyaki ganja sebanyak 35 mililiter yang dianggarkan bernilai RM6,720.
“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dadah berbahaya,” katanya.
“Semakan rekod juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Alexson berkata, ketiga-tiga suspek direman selama dua hari, bermula 13 hingga 14 Oktober, bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali.
Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam membantu polis membanteras kegiatan dadah.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran, pemilikan atau perlindungan aktiviti dadah,” katanya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-208 7222 atau hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di 017-592 9211,” katanya.



