PASIR MAS: Tiga kementerian utama kerajaan Persekutuan memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek pembinaan jambatan baharu menghubungkan Malaysia dan Thailand khususnya di Sungai Golok, menggantikan jambatan lama yang beroperasi sejak 1973.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pembinaan jambatan berkenaan melibatkan kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan Kementerian Pengangkutan selaras dengan perjanjian dua hala antara kedua-dua negara.
“Setiap kementerian mempunyai peranan kritikal.
KDN bertanggungjawab membangunkan kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu.
KKR meneliti aspek sambungan infrastruktur jalan dari jambatan ke kawasan Rantau Panjang, sama ada melalui laluan baharu atau penaiktarafan jalan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang di sini semalam.
Beliau berkata penglibatan Kementerian Pengangkutan pula susulan cadangan kerajaan Thailand untuk melanjutkan perkhidmatan kereta api dari Sungai Golok ke Rantau Panjang.
“Pada masa sama, kerajaan Kelantan turut meminta agar stesen ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) dipanjangkan dari Tunjong ke Rantau Panjang bagi mengukuhkan rangkaian pengangkutan rel antara kedua-dua negara.
“Keseluruhan pelaksanaan projek ini memerlukan penyelarasan dasar di peringkat tertinggi antara ketiga-tiga kementerian.
Di pihak KDN, fokus utama kami ketika ini ialah menyelesaikan isu pengambilan tanah yang terlibat bagi memastikan kelancaran projek,” katanya.
Beliau turut memaklumkan KKR dalam proses memuktamadkan pelantikan kontraktor untuk bahagian Malaysia, manakala pihak Thailand juga sedang melaksanakan proses sama.



