KUCHING: Tiga lelaki cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jambatan Sungai Samariang Besar, Petra Jaya awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi PBK I Pandi Seh, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.46 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Bezza dan Proton Persona dengan tiga mangsa kesemuanya mengalami kecederaan tetapi tidak tersepit.
“Dua mangsa yang berada di dalam Proton Persona mengalami kecederaan pada bahagian muka, manakala seorang lelaki yang memandu Perodua Bezza cedera pada kaki,” katanya dalam kenyataan.
Pandi berkata, pasukan bomba memberikan rawatan awal dan menstabilkan mangsa sebelum ketibaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, kesemua mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
“Selepas operasi menyelamat selesai, pihak bomba melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya.





