ARTIKEL

Kesemua individu yang ditahan dalam Operasi Cegah Bilangan 7 Tahun 2026 oleh AADK Sibu, malam tadi.

Tiga pasangan muda antara 11 ditahan positif syabu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Hasrat tiga pasangan muda untuk terus memadu kasih tidak kesampaian apabila mereka antara 11 individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dalam Operasi Cegah Bilangan 7 Tahun 2026, malam tadi.

Menurut hantaran Facebook AADK Sibu, operasi itu diketuai lapan pegawai dan anggota AADK dengan serbuan dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar Sibu.

“Daripada jumlah yang ditahan, enam lelaki dan lima wanita berusia antara 22 hingga 42 tahun. Semua didapati positif methamphetamine (syabu) hasil ujian saringan awal air kencing,” menurut hantaran itu.

Menurut AADK Sibu, tindakan tersebut selaras dengan pindaan Akta 283 iaitu Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang membolehkan agensi berkenaan menyediakan rawatan dan pemulihan kepada penagih serta penyalah guna dadah.

AADK Sibu memaklumkan fokus pihaknya bukan sekadar menangkap dan mengenakan tindakan, sebaliknya memberi peluang kepada individu terlibat menjalani rawatan awal bagi mencegah masalah menjadi lebih serius.

“Dadah sintetik bukan sahaja merosakkan kesihatan fizikal dan mental, malah boleh membawa maut.

“AADK menasihati golongan belia supaya menjauhi bahan terlarang itu,” menurut hantaran tersebut.

Dalam pada itu, individu yang bergelut dengan masalah dadah digalakkan tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan demi menyelamatkan diri dan masa depan keluarga.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau mendapatkan khidmat nasihat melalui talian hotline 1-800-22-2235 atau WhatsApp 019-626 2233.

“Kerjasama masyarakat dan pendekatan pemulihan dilihat penting dalam membendung gejala penyalahgunaan dadah.

“Penguatkuasaan undang-undang perlu digabungkan dengan program rawatan yang berkesan,” menurut hantaran itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU