KUCHING: Tiga pelari dari Pontianak, Indonesia, menempuh kira-kira 350 kilometer secara berganti-ganti dari Pontianak ke Kuching sempena bulan kemerdekaan.
Thomas, Tju Hok Ui dan Sutrisno yang merupakan anggota Uber Running Crew memulakan larian dari Anzon Toyota Pontianak pada pagi Sabtu (22 Ogos lalu) sebelum menamatkan perjalanan di mercu tanda Kuching di sini kira-kira jam 3 pagi tadi.
Larian itu bukan sekadar cabaran ketahanan fizikal, sebaliknya membawa mesej persahabatan dan hubungan rakyat-ke-rakyat antara Indonesia dan Malaysia, khususnya masyarakat di kawasan sempadan.
Wali Kota Pontianak, Edi Rusdi Kamtono, yang melepaskan ketiga-tiga pelari berkenaan, berkata inisiatif itu turut membawa nama Pontianak dalam semangat kemerdekaan, kesukanan dan persahabatan dengan negara jiran.
“Aktiviti ini sangat positif dan membanggakan. Para pelari bukan sahaja mencabar diri menempuh jarak jauh, tetapi turut membawa nama Pontianak dalam semangat kemerdekaan, kesukanan dan persahabatan dengan negara jiran (Malaysia),” katanya.
Selepas berlepas dari Pontianak, mereka meneruskan perjalanan ke Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Entikong sebelum memasuki Sarawak melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.

Setibanya di Sarawak, perjalanan mereka disokong dan diiringi komuniti pelari Malaysia yang diselaraskan Alpha Sport Event sehingga ke Kuching.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli, berkata aktiviti sukan rentas sempadan itu mempunyai nilai strategik kerana mampu mempertemukan masyarakat kedua-dua negara dalam suasana positif dan sihat.
Beliau berkata, sempadan bukan hanya menjadi laluan pergerakan antara kedua-dua negara, malah boleh dimanfaatkan sebagai ruang untuk membina persahabatan dan mengukuhkan hubungan masyarakat.


