Tiga pembalak haram cabut lari

SIBU: Pasukan Gerakan Am Batalion Ke-10 Sibu (PGA10) mematahkan kegiatan pembalakan haram di Batu 40, Jalan Sibu-Selangau Selasa lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Briged Sarawak di laman rasminya di media sosial semalam, serbuan itu dilakukan menerusi Op Libas.

“Bertindak diatas maklumat, pada 4 Ogos lalu sekitar jam 5 petang, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Risik PGA10 telah membuat serbuan dan pemeriksaan di satu kawasan pembalakan di lokasi tersebut yang disyaki menjalankan aktiviti pembalakan secara haram.

“Semasa pasukan serbuan sampai di lokasi, tiga pekerja sedang menebang kayu balak dan telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan serbuan,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, pemeriksaan awal telah menemui satu buah jengkaut jenama Hitachi, satu buah jentolak jenama Caterpillar, satu buah ‘waterpump’ jenama Moto dan satu buah generator tiada jenama serta sekitar 20 batang kayu balak yang telah ditebang.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan sekitar RM455,500 dan kesalahan di bawah Ordinan Hutan Sarawak 2015.

“Rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Hutan Wilayah Sibu untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu lagi.

DISITA…Pasukan serbuan
ketika memeriksa sebuah
jengkaut di lokasi tersebut.

Suara Sarawak