Tiga penganggur dicekup kerana dadah

KUCHING: Tiga penganggur dicekup termasuk seorang wanita kerana memiliki selepas satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bunga Tongkeng di sini pada pagi Rabu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Hasnir Abdul Hamid, tiga penganggur berusia 23 hingga 26 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Ketika serbuan, kita menjumpai satu peket plastik lutsinar yang di dalamnya terdapat lapan paket kecil mengandungi ketulan kristal.

“Anggaran berat dadah jenis syabu itu ialah 6.88 gram,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun dan ia juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada sembilan sebatan.