KUCHING: Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Dadu dijalankan Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 8 hingga 15 April lalu.

Katanya, wang tunai berjumlah RM226 serta peralatan yang digunakan untuk tujuan perjudian turut dirampas.
“Tiga kertas siasatan dibuka, dua di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian dalam talian dan boleh dikenakan denda RM5,000 hingga RM50,000 serta hukuman penjara hingga tiga tahun.
“Sementara, satu disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian loteri awam tanpa lesen dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta hukuman penjara tidak lebih lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau dalam pada itu mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan perjudian di daerah Kuching dengan menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran.