Tiga pertubuhan terima sumbangan Petronas

BINTULU: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masing- masing Persatuan Autistik Kuching, Persatuan Kesihatan Mental Sarawak dan Pusat Haemodialisis St John Ambulans Bintulu menerima sumbangan daripada anak syarikat PETRONAS, Malaysia LNG(MLNG).

Acara ringkas penyerahan sumbangan dilakukan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat MLNG, Mohamed Syazwan Abdullah@ Laga Jenggi.

Agihan dana keseluruhan berjumlah RM150, 000 itu merupakan hasil yuran penyertaan MLNG Jewel Marathon 2019 yang berlangsung hari ini, di perkarangan The Spring Mall, di sini.

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan tersebut, Mohamed Syazwan menzahirkan penghargaan kepada  sokongan  orang ramai terhadap acara yang menggalakkan gaya hidup sihat itu.

TAHNIAH… Majang ditemani Mohamed Syazwan bergambar bersama pemenang kategori Marathon 42KM Veteran Lelaki.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada orang ramai kerana semua kategori dijual dalam tempoh 80 jam selepas pendaftaran dibuka, katanya.

Beliau berharap penganjuran MLNG Jewel Marathon dapat  menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia termasuk di Bintulu.

Tambahnya lagi, pihaknya turut komited untuk menyokong aktiviti yang  menggalakkan amalan gaya hidup sihat  untuk rakyat Bintulu.

Kira-kira 3,500 pelari menyertai MLNG Jewel Marathon 2019 kali kedua anjuran MLNG Sdn Bhd yang terbahagi kepada lima kategori, masing-masing Marathon 42KM, Marathon, 21KM, 10KM dan 5KM serta 1KM untuk kanak-kanak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Majang Renggi hadir sama.

Mohamed Syazwan menyerahkan sumbangan kepada wakil Pusat Haemodialisis St John Ambulans Bintulu.

Suara Sarawak